KANGAR - Tekanan perasaan yang terpaksa dilalui mangsa pedofilia bagaikan ‘setiap hari mengadap jendela neraka’, itulah luahan seorang pekerja swasta yang pernah melalui detik hitam itu dalam hidupnya.
Lelaki yang hanya mahu dikenali dengan nama 'Man' dan kini berusia 35 tahun itu berkata, ia bermula ketika dia berumur 9 tahun apabila menjadi objek melepaskan nafsu sepupu wanita yang tinggal serumah dengannya.
"Masa itu, saya tidak tahu apa-apa apabila diajak tidur bersama,” kata sambil menundukkan kepala ketika menceritakan kisah menyedihkannya itu baru-baru ini.
Katanya, episod menjadi mangsa ‘gergasi kanak-kanak’ atau 'pelaku pedofilia' tidak terhenti setakat itu, sebaliknya dia sering dipilih sebagai objek pemuas nafsu golongan pelaku seks luar tabii bermula dari alam persekolahan sehingga ke menara gading.
"Saya ambil keputusan untuk mengunci mulut dan tidak memberitahu keluarga kerana bimbang keselamatan diri apabila diugut pelaku setiap kali selepas memuaskan nafsu liar mereka,” kata anak ketiga daripada lima beradik itu.
Man berkata, pada mulanya, dia merasakan episod hitam akan berhenti apabila mendapat tawaran memasuki sekolah berasrama penuh, namun kali ini dia menjadi ‘objek seks’ pelajar senior lelaki yang bukan hanya membulinya, tapi turut menjadikannya sebagai objek seks luar tabii secara bergilir-gilir.
"Tekanan yang dihadapi menyebabkan saya kadang-kadang terfikir untuk mengambil jalan mudah membunuh diri, namun bila fikir pasal mak saya tidak sanggup tambah derita mak yang juga seorang ibu tunggal.
"Saya terus jadi mangsa apabila menyambung pelajaran di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT). Kali ini saya dibayar untuk memuaskan nafsu dan pada mulanya agak seronok dapat tambah duit kocek.
"Tapi lama kelamaan saya terfikir sampai bila untuk terus membiarkan diri diperlaku sedemikian rupa dan saya nekad untuk meninggalkan sisi gelap itu,” katanya.
Menurutnya, selepas memasuki alam pekerjaan, barulah dia merasakan dirinya bebas sepenuhnya, malah keadaan bertambah baik selepas dia mendirikan rumah tangga dan dapat meneruskan hidup sebagai seorang insan normal.
"Saya rasa bersyukur dapat keluar dari lembah hina itu walaupun terpaksa melaluinya seorang diri. Nasihat saya kepada keluarga dan mangsa pedofilia supaya terus membuat laporan polis dan tidak perlu malu.
"Jika terus dibiarkan pelaku seks kanak-kanak akan terus bebas merosakkan masa depan kanak-kanak,” katanya yang bakal menimang cahaya mata pertama tidak lama lagi.
Sementara itu, Ketua Polis Perlis, Datuk Surina Saad menasihati keluarga mangsa pedofilia segera membuat laporan kepada polis dan tidak membiarkan jenayah seksual kanak-kanak itu terus berlaku.
"Jenayah ini (pedofilia) hanya boleh dibendung sekiranya ahli keluarga dan masyarakat sama-sama melaporkan kes yang berlaku di sekeliling mereka, membuat laporan polis bukan bererti sibuk menjaga tepi kain orang sebaliknya ingin menjaga keselamatan semua orang,” katanya.
"Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 turut membuka ruang kepada orang ramai tampil membuat laporan polis terhadap kesalahan itu apabila pengakuan daripada mangsa sudah cukup untuk mengheret suspek ke mahkamah.
"Pengadu tidak memerlukan saksi atau apa-apa dokumen atau video sokongan bagi membolehkan pihak berkuasa membuat pendakwaan," katanya.
Menurutnya, selain itu, Jabatan Siasatan Jenayah, Cawangan Jenayah Seksual (D11) mempunyai pakar psikologi yang akan memberi kaunseling kepada mangsa untuk menceritakan kejadian yang menimpa.
"Antara usaha yang dilakukan unit D11 bagi mencegah jenayah itu ialah memberi ceramah kepada orang ramai, khususnya ibu bapa agar mereka mendapat pengetahuan tentang jenayah ini.
"Pendedahan yang dilakukan adalah memberi pengetahuan kepada ibu bapa cara mudah bagaimana melakukan sentuhan selamat terhadap anak mereka agar tidak berlaku unsur jenayah seksual.
"Penjaga juga boleh dikenakan tindakan undang-undang sekiranya mereka menyentuh anak-anak secara seksual walaupun atas dasar kasih sayang,” katanya. - Bernama