Peningkatan 30,000 kenderaan di GCE hujung minggu ini

Iklan
Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Kumpulan Syarikat Prolintas menjangkakan menerima peningkatan sebanyak 30,000 kenderaan yang bakal menggunakan Lebuhraya Koridor Guthrie (GCE) daripada kalangan pengguna lebuh raya yang menuju ke utara dan selatan tanah air pada hujung minggu ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Syarikat Prolintas, Datuk Mohammad Azlan Abdullah berkata, jumlah itu adalah 30 peratus lebih banyak berbanding jumlah trafik pada hari biasa iaitu sebanyak hampir 85,000 kenderaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, peningkatan trafik ini susulan jangkaan orang awam akan pulang ke kampung berikutan kebenaran merentas negeri yang diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 8 Jun lalu.

"Jangkaan kenaikan trafik ini adalah kerana Lebuhraya GCE adalah laluan pintas utara selatan yang menjadi pilihan penduduk Lembah Klang.

Iklan

"Bagi memberikan keselesaan pengguna dan kelancaran trafik ketika pulang ke kampung, GCE membuka sepenuhnya beberapa kemudahan seperti Kawasan Rehat dan Rawat Elmina dan pusat khidmat pelanggan dari 7 pagi hingga 7 malam," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Bagaimanapun, katanya Prolintas akan memastikan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) bagi menangani wabak Covid-19 dipatuhi sepenuhnya kakitangan mahupun pengguna.

Iklan

"GCE juga akan menambah kakitangan yang bertugas, khasnya pasukan peronda di beberapa lokasi utama GCE bagi memastikan aliran trafik lancar dan bersedia untuk membantu pengguna yang mungkin memerlukan bantuan," katanya.

Mohammad Azlan berkata, pengguna turut dinasihatkan untuk merancang perjalanan mereka dan melakukan transaksi tambah nilai kad Touch 'n Go di kiosk layan diri yang disediakan di sepanjang Lebuhraya GCE.

"Lokasi-lokasi untuk melakukan transaksi adalah di lorong berlapis Touch ‘n Go Plaza Tol Bukit Jelutong (arah utara), kawasan Rehat dan Rawat Elmina (arah selatan), Plaza Tol Elmina (arah utara) dan Plaza Tol Lagong (arah selatan).

"Selain itu, pengguna juga boleh melakukan transaksi tol menggunakan perkhidmatan eWallet (Direct Pay) di semua tol plaza di GCE,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurutnya, GCE kini sepenuhnya diterangi dengan lampu jalan di sepanjang lebuh raya serta menyediakan laluan khas motosikal.

"Kemudahan ini bagi memastikan keselamatan pengguna di tahap yang tinggi serta dapat mengurangkan jumlah kemalangan.

"Selain itu, akses GCE kepada beberapa lebuh raya dan menghubungkan dengan beberapa lokasi kediaman utama serta pusat komersial yang aktif menjadikan lebuh raya ini pilihan utama pengguna.

Katanya, pengguna boleh mendapatkan info trafik terkini GCE melalui Twitter @GCEtrafik atau layari laman web www.prolintas.com.my atau laman Facebook di PROLINTAS Highways untuk mengetahui maklumat lengkap berkaitan GCE.

"Untuk sebarang pertanyaan, hubungi talian bebas tol GCE 1-300-88-0035. Pengguna juga digalakkan untuk memuat turun aplikasi mudah alih Prolintas yang boleh diperoleh secara percuma di Apple Store dan Google Play," katanya.