58 pemandu mabuk ditahan sejak awal Mei

Iklan
Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay (dua dari kanan) melihat bacaan ujian pernafasan yang diambil daripada salah seorang pemandu ketika Ops Mabuk yang dijalankan malam tadi. - Foto Bernama

JOHOR BAHRU - Ops Mabuk yang dilaksanakan di seluruh negeri Johor bermula awal bulan ini sehingga Khamis lalu telah menahan 58 individu yang didapati memandu di bawah pengaruh alkohol.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, kesemua yang ditahan itu terdiri daripada rakyat tempatan dan warga asing berusia 31 hingga 41 tahun dan mereka disiasat mengikut Seksyen 45A (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Iklan
Iklan

"Kita akan pastikan operasi ini (Ops Mabuk) dilakukan secara berterusan dan bukan bermusim. Kita tidak mahu isu ini (pemandu mabuk) timbul apabila pihak media dan orang ramai menggesa tindakan diambil.

"Oleh sebab itu, kita akan teruskan kerana kita tidak mahu ada mangsa yang maut kerana pemandu mabuk. Saya tidak akan memberi nasihat atau amaran lagi, pesalah akan terus ditangkap,” katanya kepada pemberita semasa meninjau Ops Mabuk di SJR Jalan Tebrau di sini malam tadi.

Iklan

Dalam pada itu, beliau memaklumkan pihaknya setakat ini tidak mengesan sebarang kewujudan pusat hiburan di negeri ini, seperti pub yang dibuka secara ‘pintu belakang’ dan yakin pemandu-pemandu mabuk ini kebanyakannya minum di rumah rakan atau restoran, yang menyediakan minuman alkohol.

"Sekiranya ada (pintu belakang), sudah tentu kita ambil tindakan, kerana pub memang tidak dibenarkan dibuka,” katanya ketika diminta mengulas kewujudan pub ‘pintu belakang’ dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP),” katanya.

Iklan

Sementara itu, selain Jalan Tebrau, Ops Mabuk turut dilakukan di empat sekatan jalan raya lain di dalam kawasan Wilayah Pembangunan Iskandar malam tadi membabitkan Jalan Sutera Danga, KM8 Lebuh Iskandar, Jalan Permas-Pasir Gudang serta Jalan Johor Bahru-Ayer Hitam. - Bernama