SHAH ALAM - Peniaga pasar malam di kawasan Shah Alam dibenarkan berniaga mengikut sistem penggiliran mulai Isnin ini.
Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menerusi siaran rasmi di laman Facebook memaklumkan, pasar malam di kawasan tersebut merangkumi lot petak ganjil dan lot petak genap.
"Bagi lot petak ganjil, peniaga dibenarkan berniaga pada minggu pertama dan ketiga sahaja.
"Bagi lot petak genap pula, peniaga dibenarkan berniaga pada minggu kedua dan keempat, manakala bagi peniaga yang mempunyai dua atau lebih petak perlu mengambil kira nombor pangkal untuk ketetapan ganjil atau genap," katanya.
Katanya, peniaga dan pelanggan turut diingatkan agar sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
"Peniaga dan pelanggan diingatkan agar sentiasa melakukan penjarakan sosial, menggunakan penutup muka dan kerap mencuci tangan dengan air atau sabun atau menggunakan cecair sanitasi," katanya.
ARTIKEL BERKAITAN: Selangor buka pasar pagi, pasar malam dan bazaria 15 Jun ini
Semalam, kerajaan Selangor memutuskan untuk membuka semula perniagaan pasar pagi, pasar malam dan bazaria secara berperingkat di lokasi terpilih bermula 15 Jun ini.
Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru Selangor, Ng Sze Han berkata, waktu operasi bagi pasar pagi, pasar terbuka dan pasar tani sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) ini adalah bermula pada jam 6 pagi hingga 11 pagi manakala pasar malam pula bermula jam 4 petang hingga 10 malam.
Beliau berkata, operasi bazaria pula hanya dibenarkan bermula pada jam 5 petang hingga 12 tengah malam.