KUALA LUMPUR - Spekulasi berlakunya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) dalam masa terdekat kembali hangat apabila Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan parti itu sedang dalam rangka persiapan ke arah menghadapinya.
Perkara itu diperkuatkan lagi dengan satu sesi pertemuan di antara Ahmad Zahid dengan Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah yang telah diadakan di rumah Ahli Parlimen Gua Musang itu di Kuala Lumpur malam tadi.
Sesi pertemuan itu dikongsi Ahmad Zahid melalui Facebook dengan beliau menjelaskan ia bertujuan membincangkan isu-isu semasa dan hala tuju ke arah memperkukuhkan parti bagi menghadapi PRU15.
"Perbincangan dengan Tengku Razaleigh Hamzah, Pengerusi Lembaga Penasihat UMNO mengenai isu-isu semasa dan hala tuju ke arah memperkukuhkan parti menghadapi PRU15," katanya malam tadi.
Sesi pertemuan Ahmad Zahid dengan pemimpin UMNO veteran itu turut mendapat perhatian lebih 4,300 pengguna Facebook yang rata-rata menyifatkan perkara itu satu perkembangan positif untuk UMNO.
Pertemuan itu lanjutan daripada satu lagi pertemuan dengan seorang lagi pemimpin berpengaruh UMNO yang juga bekas Presiden parti itu, Datuk Seri Najib Tun Razak pada dua minggu lalu.
Sehingga kini, kedudukan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan Perikatan Nasional (PN) dilihat beberapa pemerhati politik sebagai tidak kukuh untuk terus kekal mentadbir negara ini.
Ini berikutan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diterajui Muhyiddin pada ketika ini berdepan kemelut pergolakan kuasa dengan bekas pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir dan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa Muhyiddin tidak mempunyai 'keabsahan' sokongan ahli Parlimen bagi menjamin kestabilan kerajaan PN.
Bagaimanapun, Anwar yang juga Ketua Pembangkang dalam satu kenyataan baru-baru ini mendedahkan Pakatan Harapan (PH) hanya memiliki sokongan 107 ahli Parlimen pada saat ini.
Terbaharu, laporan sebuah akhbar utama Singapura, The Straits Times mendakwa Muhyiddin kini sedang dalam perancangan untuk mengadakan pilihan raya umum mengejut dalam masa terdekat.