KUANTAN - Peristiwa diekori harimau belang jantan sejauh 300 meter ketika bertugas sebagai renjer hutan di kawasan Hutan Sungai Yu, Lipis sukar untuk dilupakan sampai bila-bila.
Hassan Ab Rahman, 60, berkata, itu antara pengalaman yang akan dikenang sepanjang 39 tahun bertugas di Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) sewaktu bersama tujuh rakan dalam perjalanan untuk pulang ke khemah selepas tamat rondaan.
Menurutnya, hanya ALLAH sahaja mengetahui perasaan ketika melihat dengan jelas saiz haiwan berkenaan yang beberapa kali mengaum.
"Terus terang cakap kami gementar takut dan bimbang kalau perkara tidak diingini berlaku sebab haiwan itu mengekori kami dari belakang.
"Masa itu, ketua kumpulan arahkan kami beratur panjang sambil memegang pinggang rakan, berjalan perlahan secara bersama seramai tujuh orang dan jangan bising kerana bimbang harimau belang berkenaan bertindak di luar jangkaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis penyampaian sagu hati kepada pesara dan bakal pesara 2020 JPNP disempurnakan Pengarah JPNP, Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin di Pejabat Pembangunan Hutan Bukit Sekilau semalam.
Selain berdepan dengan harimau, Hassan turut bertemu dengan kumpulan lima gajah liar di hutan Sungai Yu.
"Bunyi gajah itu begitu menakutkan hingga ada rakan saya yang hampir terkencing dalam seluar," katanya.
Jelasnya, bertugas pada era 80 dan 90-an begitu mencabar dan menguji kesabaran kerana terpaksa berada dalam hutan antara 20 hingga 30 hari melakukan pelbagai tugas pada setiap bulan.
Bukan itu sahaja, beliau berkata, berjalan kaki berpuluh kilometer, berkhemah dalam hutan adalah kehidupan biasa bagi seorang renjer hutan.
"Gaji ketika itu cuma RM250 sebulan dan elaun bermalam dalam hutan RM2.66, walaupun pendapatan tidak seberapa, namun ia cukup untuk menyara keluarga dan membeli motosikal," katanya yang berasal dari Jerantut Feri.
Sementara itu, Mohd Hizamri berharap renjer hutan yang sudah bersara dapat menjadi mata dan telinga jabatan dan menyalurkan maklumat sekiranya terdapat aktiviti pencerobohan hutan.
"Selain itu, pengalaman dan kemahiran mereka diperlukan oleh generasi muda," katanya.