Lelaki ditahan ketika jinjing baldi berisi air ketum

Iklan
Antara daun ketum dan bungkusan air ketum yang dirampas pihak polis.

KULIM - Seorang lelaki ditahan ketika sedang menjinjing sebuah baldi berisi 10 bungkus air ketum di sebuah rumah di Jalan Padang Serai Batu. 6, Lunas di sini semalam.

Timbalan Ketua Polis Daerah Kulim, Deputi Superintendan Safuan Md Noor berkata, lelaki berusia 32 tahun itu ditahan kira-kira jam 3 petang ketika anggotanya menjalankan Ops Tapis di kawasan terbabit.

Iklan
Iklan

"Ketika kejadian lelaki itu sedang menjinjing sebuah baldi yang berisi 10 bungkus air ketum dianggarkan enam liter.

"Pemeriksaan lanjut berdekatan suspek menemui sebungkus plastik hitam di atas tanah yang mengandungi daun ketum dengan anggaran berat tujuh kilogram (kg)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Iklan

Menurutnya, siasatan lanjut mendapati lelaki berkenaan dipercayai terlibat dalam aktiviti berkaitan ketum sejak tahun lalu.

"Bagaimanapun berdasarkan semakan, suspek tidak mempunyai sebarang rekod lampau," katanya.

Iklan

Sementara itu, seorang lelaki turut ditahan polis awal pagi tadi di sebuah pondok tidak bernombor di kampung Padang Ubi, Labu Besar di sini kerana memiliki bungkusan air ketum.

"Tiga orang anggota dari Balai Polis Sungai Kob telah membuat serbuan pada jam 2.30 pagi dan menahan suspek berusia 25 tahun itu bersama lima bungkusan air ketum di pondok berkenaan.

"Suspek dipercayai baru berjinak-jinak dengan aktiviti ketum ini sejak awal tahun ini dan tidak mempunyai sebarang rekod lampau.

"Kita telah merampas semua bahan bukti yang ditemui dan siasatan lanjut sedang dijalankan terhadap kedua- dua suspek mengikut Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952," katanya.