Kerajaan miliki fleksibiliti, mampu kumpul dana ketika memerlukan

Iklan
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Defisit fiskal Malaysia akan meningkat hampir sekali ganda tahun ini, khususnya untuk membiayai pakej rangsangan ekonomi ‘bertemakan’ Covid-19 Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bernilai RM260 bilion dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) RM35 bilion.

Bagaimanapun, menurut pandangan ahli ekonomi, kerajaan Malaysia mampu dan memiliki fleksibiliti untuk mengumpulkan dana memandangkan pasti ada pihak yang melanggan kertas-kertas hutang berkenaan.

Iklan
Iklan

Ketua Pakar Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, kerajaan mempunyai tujuan untuk melakukannya (meningkatkan defisit fiskal untuk membiayai pakej rangsangan ekonomi).

"Sekiranya kita melihat komposisi hutang itu, sebahagian besar adalah dalam ringgit iaitu kira-kira 96 peratus dan kita mempunyai institusi utama seperti Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso), syarikat insurans, bank-bank dan pengurus aset yang akan melabur dalam instrumen bebas risiko untuk tujuan mudah tunai serta peningkatan modal,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Iklan

Beliau berkata, pakej rangsangan itu adalah wajar dan tepat pada masanya kerana sektor swasta, isi rumah dan perniagaan mengalami sentimen lemah berikutan impak daripada pandemik Covid-19.

"Oleh itu, kita memerlukan pemangkin yang tepat untuk menggerakkan ekonomi secara pantas setelah lengkungan jangkitan telah diratakan. Justeru, kerajaan merupakan agen utama bagi merangsangkan ekonomi dan perlu memanfaatkan masa secepat mungkin,” katanya.

Iklan

Mengenai perbandingan keberkesanan pelaksanaan di antara dasar monetari dengan dasar fiskal, Mohd Afzanizam berkata, kedua-dua dasar itu saling melengkapi dan dianggap sebagai dasar pengurusan permintaan kerana bertujuan menggalakkan permintaan dalam negara.

Bagaimanapun, kedua-duanya berbeza dari segi penyaluran kepada ekonomi sebenar.

"Bagi dasar monetari, ia memerlukan masa untuk kita melihat hasil pelaksanaan, lazimnya lebih dari satu tahun manakala dasar fiskal, kesannya boleh dirasainya serta-merta,” katanya.

Mengenai sasaran kerajaan untuk menurunkan defisit fiskal kepada kurang daripada 4.0 peratus berbanding Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dalam tempoh atau lebih kurang tiga tahun, Mohd Afzanizam berkata, ia bergantung sepenuhnya pada kepantasan pemulihan ekonomi dan keadaan pertumbuhan global.

Oleh yang demikian, beliau berkata, kerajaan perlu memiliki strategi jelas mengenai langkah mengurangkan defisit belanjawan apabila ekonomi mula kembali normal,

Ini kerana langkah itu akan melibatkan pembaharuan struktur dalam pelbagai aspek ekonomi seperti dasar percukaian, pasaran tenaga kerja, pasaran barang dan institusi.

Mengulas kenyataan Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz yang mengulangi bahawa kedudukan hutang awam semasa Malaysia kini pada 52 peratus daripada KDNK dan kemungkinan dinaikkan melebihi had 55 peratus jika diperlukan, Mohd Afzanizam berkata, sedikit fleksibiliti perlu diberikan kepada kerajaan kerana negara mengalami kejutan negatif secara sistematik yang boleh menjejaskan ekonomi.

"Justeru, usaha itu memerlukan respon dasar yang cepat agar dapat memberikan kesan yang diinginkan bagi jangka pendek dan panjang,” katanya. - Bernama