PONTIAN - Seorang tekong meninggal dunia akibat serangan jantung selepas bot yang dinaiki bersama-sama dua pemancing terkandas di paya bakau berhampiran Kampung Serkat di sini hari ini.
Dalam kejadian pada jam 2.30 pagi, mangsa, Jahuri Nawi, 65, bersama-sama rakannya memancing di kawasan itu sebelum ribut melanda dalam keadaan bot mereka terdampar di kawasan paya bakau.
Keadaan itu membuatkan mangsa diserang semput dan mengalami serangan jantung.
Menurut seorang pemancing yang terselamat, Maffri Nasir, 43, dia dan seorang lagi rakannya cuba membantu mangsa supaya terus bertahan.
Bagaimanapun, katanya, pada jam 4.20 pagi keadaan mangsa bertambah teruk dan tidak sedarkan diri.
"Melihat keadaan mangsa yang tidak sedarkan diri kami terus menghubungi talian MERS 999 untuk mendapatkan bantuan," katanya ketika ditemui.
Maffri berkata, mereka bertiga keluar memancing ke laut dari Jeti Pengkalan Nelayan Serkat pada petang semalam.
Sementara itu, Pengarah Maritim Negeri Johor, Laksamana Pertama Maritim Aminuddin Abdul Rashid berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan itu melalui Maritime Rescue Sub-Centre Johor Bahru (MRSC-JB) selepas mendapat maklumat daripada MERS 999.
"Ketika kejadian pihak Maritim sedang melakukan Ops Benteng Laut di kawasan berhampiran sebelum ke lokasi kejadian bagi memberikan bantuan.
"Bot ronda maritim Malaysia dan bot Pasukan Polis Marin (PPM) yang tiba di lokasi kejadian bagaimanapun tidak dapat merapat ke bot mangsa disebabkan kawasan bakau dengan air yang cetek dan tidak selamat," katanya.
Katanya, semua mangsa berjaya dibawa keluar melalui jalan darat dengan bantuan orang awam bersama-sama Pasukan Gerakan Am pada jam 9.20 pagi.
Beliau berkata, mayat mangsa seterusnya dibawa polis dengan diiringi waris mangsa ke Hospital Pontian untuk dibedah siasat.
"Maritim Malaysia merakamkan penghargaan kepada semua agensi dan komuniti awam yang terlibat dalam operasi pada kali ini," katanya.
Maritim Malaysia menasihatkan kepada orang ramai dan komuniti maritim agar sentiasa berhati-hati ketika melakukan sebarang aktiviti di laut, sentiasa mengutamakan keselamatan dan peka dengan perkembangan laporan keadaan cuaca.
Sebarang kecemasan di perairan Johor segera hubungi talian hotline 24 jam Pusat Operasi Maritim Negeri Johor (07-219 9404) atau talian kecemasan MERS 999 agar tindakan segera dapat diambil oleh Maritim Malaysia.
Komuniti Maritim juga digalakkan untuk membawa bersama Personal Locator Beacon (PLB) yang berfungsi untuk menghantar isyarat kecemasan terutamanya ketika berada di kawasan tiada capaian talian komunikasi.