PUTRAJAYA - Orang ramai yang mempunyai maklumat atau mengesyaki terdapat unsur-unsur pemalsuan dokumen keputusan saringan koronavirus (Covid-19) diminta untuk membuat laporan segera kepada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sekiranya mendapat aduan, pihaknya boleh menjalankan siasatan lanjut dan tindakan juga boleh diambil mengikut Akta 342 ke atas mereka yang terlibat.
"Jadi jika orang ramai berasa ragu atau sangsi dengan dokumen yang dilihat dan mengesyaki ada unsur-unsur penipuan, boleh lapor terus kepada kita.
"KKM juga akan bekerjasama dengan polis untuk menjalankan siasatan ke atas perkara itu dan mengambil tindakan sewajarnya," katanya pada sidang akhbar situasi semasa jangkitan Covid-19 hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas berhubung kemungkinan terdapat lagi sindiket pemalsuan dokumen keputusan Covid-19 melibatkan warga asing.
Sebelum ini, polis menumpaskan sindiket pemalsuan dokumen keputusan ujian saringan Covid-19 yang negatif bagi warga asing selepas tertangkapnya dua lelaki Bangladesh di dua premis berasingan di Jalan Alor, Kuala Lumpur.
Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Seri Mazlan Lazim memberitahu, siasatan mendapati premis berkenaan baharu beroperasi dua minggu dengan menjual setiap dokumen palsu itu pada harga RM50.
Dalam pada itu, Noor Hisham berkata, KKM juga membenarkan ujian saringan Covid-19 dibuat di makmal swasta dan makmal KKM.
"Walaupun kita ada 64,655 hasil ujian saringan yang dijalankan, kita tak akan umum semua.
"Tapi tak kira ia dibuat di makmal swasta atau makmal awam, KKM ada semua keputusan ujian tersebut," katanya.
Sementara itu, orang ramai diminta melaporkan kepada Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) sekiranya ada alat pengimbas suhu digital yang dijual tidak menepati piawaian ditetapkan.
Dr Noor Hisham berkata, ini kerana setiap peralatan perubatan perlu berdaftar dengan MDA sebelum ia dipasarkan.
"Semua peralatan atau peranti suhu ini kena didaftarkan dengan MDA dan kita pastikan ada pendaftaran dengan MDA, baru kita boleh sahkan penggunaan itu diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan (KKM)
"Jadi kalau ada penipuan mereka perlu lapor kepada MDA dan kita (KKM) akan ambil tindakan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai satu satu kajian rambang terhadap alat megesan suhu yang digunakan sesetengah pihak yang ada alat yang digunakan itu tidak mengikut spesifikasi ditetapkan.
Menurutnya, orang ramai juga boleh membuat semakan terhadap peralatan tersebut bagi mengetahui sama ada ia menepati piawaian atau sebaliknya.