KUALA LUMPUR - Aliran trafik di lebuh raya utama, jalan raya dan jalan raya utama di seluruh negara secara umumnya dilaporkan lancar dan terkawal hari ini.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Azisman Alias berkata, tiada kesesakan teruk dilaporkan.
"Aliran trafik dari Lembah Kelang ke arah utara, selatan dan timur dalam keadaan terkawal.
"Saya berpendapat, keghairahan orang ramai untuk balik ke kampung tidak seperti menjelang satu atau dua hari menyambut Hari Raya Aidilfitri seperti kebiasaannya,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Perkara ini berlaku berikutan orang ramai bijak merancang waktu perjalanan ke destinasi masing-masing bagi mengelak kesesakan di jalan raya.
Namun begitu, katanya, pasukan seperti ‘Jammed Squad’ yang ditubuhkan agensi itu sentiasa bersiap sedia digerakkan jika terdapat kesesakan jalan raya di samping bekerjasama dengan pihak konsesi lebuh raya.
Terdahulu, wartawan Bernama turut menyertai Pasukan Gerakan Udara (PGU) Polis Diraja Malaysia (PDRM) melakukan pemantauan udara pergerakan rentas negeri susulan pengumuman tiada lagi halangan pergerakan semasa tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Tinjauan yang dilakukan di sekitar bandaraya dan lebuh raya utama sejak pagi mendapati tiada kesesakan di jalan keluar utama termasuk di plaza tol utama.
Selain itu, tinjauan juga mendapati kebanyakan kawasan rehat dan rawat (RNR) tidak dipenuhi orang ramai atau kenderaan.
Komander operasi, Superintendan Mohd Fairuz Jamil (Komander Operasi) memberitahu Bernama, terdapat pertambahan kenderaan namun kelancaran pergerakan kenderaan di jalan raya masih seperti sedia kala.
"Tiada kesesakan di RNR dan sepanjang rondaan dapat dilihat kebanyakan kenderaan bergerak di sebelah utara dan selatan... menghala di sebelah timur pula nampak lengang.
"Mungkin ada yang sudah balik secara berperingkat atau memilih untuk balik kampung semasa sambutan Aidiladha nanti,” ujarnya.
Sementara itu, seorang pengusaha stesen minyak di lebuh raya Pantai Timur (LPT) Datuk Khairul Amilia Kholi berkata, orang ramai telah memulakan perjalanan balik kampung semalam (Jumaat).
Katanya, terdapat kesesakan di jalan raya sehingga subuh tadi dan pengguna jalan raya yang berhenti untuk berehat serta mengisi minyak dan menyebabkan kesesakan di stesen minyaknya.- Bernama