KUANTAN - Keterujaan Rohani Md Nor bercerita perihal rumah baharunya bertukar sebak apabila teringat kisah anaknya, Nor Hafiza Helmi Abu Bakar yang tidak sempat menunaikan impian menyediakan kediaman lebih selesa sebelum meninggal dunia.
Rohani, 56, berkata, anak tunggalnya yang menghidap penyakit buah pinggang sejak usia sembilan tahun dan meninggal dunia pada Disember 2017 di usia 30 tahun, pernah memasang niat untuk membina rumah baharu di hadapan rumah pusaka keluarga mereka yang sudah uzur.
"Beberapa bulan sebelum Helmi (panggilan anaknya) meninggal dunia, dia kerap menyebut dok dang (tak sempat) nak bagi rumah baharu... mungkin Helmi dapat rumah tiang dua (kubur) dulu," kata wanita itu kepada Bernama ketika ditemui di rumahnya di Kampung Pasir Kemudi, Sungai Lembing di sini hari ini.
Rohani merupakan antara empat individu kurang bernasib baik di Sungai Lembing yang menerima ziarah kasih Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang turut berkenan menyampaikan sumbangan peribadi.
Turut berangkat menyertai ziarah itu ialah anakanda Seri Paduka berdua Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu'adzam Shah, Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Afzan Aminah Hafizatullah dan Tengku Puteri Raja Tengku Puteri Jihan Azizah 'Athiyatullah.
Bercerita lanjut, Rohani berkata, dia pada mulanya tidak percaya apabila dimaklumkan semalam bahawa pasangan diraja itu bakal mencemar duli ke rumahnya kerana beranggapan tidak mungkin 'orang besar' akan berbuat demikian.
Turut menerima ziarah kasih itu ialah dua beradik Tuan Azmi Tuan Hasan, 49, dan Tuan Mohd Azizi, 42, yang terlantar akibat penyakit saraf di Bukit Kuin 2 di sini yang tinggal berdua selepas kematian ibu mereka pada tahun 1998.
Sejak itu, tanggungjawab menguruskan dua beradik tersebut jatuh kepada anak ketiga, Tuan Azman, 47, yang berulang-alik setiap hari ke rumah pusaka keluarga mereka beberapa kali sehari kerana dia tinggal bersama keluarganya di Kampung Pandan Jaya di sini.
"Abang dan adik menderita penyakit itu sejak lahir yang perlahan-lahan menyebabkan mereka kehilangan upaya untuk berdiri dan berjalan. Abang sempat bersekolah hingga tingkatan tiga manakala adik hanya setakat darjah enam," katanya.
Orang kurang upaya (OKU), Faratun Naim Mi, 47, pula mengakui terharu apabila Al-Sultan Abdullah secara spontan menitahkan supaya Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) memberikan kerusi roda baharu kepadanya selepas melihat kerusi roda yang digunakan.
"Saya beritahu kerusi roda saya masih elok tapi baginda tetap mahu mengurniakan yang baharu. Tunku Azizah yang mendengar terus mencadangkan supaya kerusi roda asal digunakan untuk melasak manakala yang baharu dibuat melaram.
"Saya gemuruh juga bila dimaklumkan mengenai kehadiran Seri Paduka berdua ke sini kerana bimbang jika tersalah cakap tapi keperibadian baginda berdua yang ramah menyebabkan semua rasa itu hilang," katanya.
Faratun Naim berkata, Seri Paduka baginda berdua juga menasihatkannya agar terus cekal dan bersemangat selepas disembah maklum bahawa dia masih melakukan pelbagai kerja, termasuk memotong rumput walaupun berkerusi roda.
Faratun Naim berkata, dia lumpuh dari aras pinggang ke bawah selepas terlibat dalam kemalangan motosikal pada usia 21 tahun dan kini tinggal berdua dengan ibunya, Zaleha Abdullah, 75, di Bukit Kuin 1.- Bernama