IPOH - Persatuan Penjaja Negeri Perak menyambut baik keputusan kerajaan membuka semula kawasan pantai dan tempah riadah bagi merancakkan semula industri pelancongan di negeri ini.
Pengerusinya, Asmadi Teh berkata, perkembangan itu sekali gus memberi kelegaan kepada peniaga kecil dan pengusaha pelancongan untuk kembali menjalankan aktiviti ekonomi masing-masing yang tertangguh sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 18 Mac lalu.
Beliau berkata, golongan peniaga khususnya amat bergantung kepada industri pelancongan dan kebanyakan mereka memperoleh manfaat melalui pembukaan semula sektor berkenaan dengan menjalankan perniagaan di kawasan tumpuan pelancong.
"Kami mengucapkan jutaan terima kasih kepada kerajaan negeri, Exco berkaitan dan Majlis Perbandaran Manjung (MPM) kerana membuka semula pantai dan tempat riadah bagi membolehkan pengunjung datang bersama keluarga ke tempat pelancongan di Manjung dan daerah lain.
"Perkara ini memang dinanti-nantikan peniaga kecil dan pengusaha pelancong untuk mereka kembali menjana pendapatan yang selama ini terjejas ekoran penularan koronavirus (Covid-19)," katanya kepada Sinar Harian semalam.
Dalam pada itu, Asmadi berharap semua penjaja akur dengan prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan.
Di pihak persatuan, pihaknya akan memastikan kesemua yang terlibat mematuhi arahan ditetapkan untuk bersama-sama pemerintah dalam menangani krisis kesihatan global itu agar dapat dikekang sepenuhnya di negara ini.
Semalam, MPM menerusi pengumuman di Facebook memaklumkan seluruh kawasan pelancongan dan riadah dibuka untuk kunjungan orang awam termasuk pantai peranginan serta taman awam mulai Isnin ini.
Beberapa garis panduan turut dikeluarkan antaranya waktu aktiviti yang dibenarkan bermula 7 pagi hingga 7 malam, mandi laut dibenarkan dengan tidak melebihi 10 orang bagi setiap keluarga atau kumpulan, berkelah pula hanya dibenarkan dengan jumlah 20 orang bagi sesebuah keluarga atau kumpulan dan sebagainya.