SIAPA yang tidak kenal dengan Tan Sri Zaman Khan Rahim Khan, satu nama besar dalam dunia siasatan jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM) suatu masa dahulu.
Namun siapa menyangka, bekas Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman yang terkenal sebagai pegawai polis bersikap tegas itu turut menyimpan kisahnya sebagai budak nakal ketika bersekolah di Sekolah Melayu To’ Uban di Pasir Mas, Kelantan.
"Saya tak boleh lupa peristiwa dirotan bapa saudara selepas dia dapat tahu yang saya sebenarnya sengaja buat-buat pengsan sebab malas nak sekolah.
"Kami pergi sekolah berjalan kaki, tiba di sebatang pokok pauh, saya pura-pura pengsan, bersusah payah mereka pikul saya guna pengusung kain. Bila sampai di rumah saya ketawa dan lepas itu dirotan bapa saudara,” katanya sambil ketawa kecil.
Zaman Khan berkata, beliau, abang dan kakaknya dibesarkan oleh bapa saudara apabila ibu bapa mereka, Mek Harun dan Rahim Khan Ghulam Haider menghantar mereka pulang ke kampung ketika masih kecil kerana bimbang terpengaruh dengan budak-budak nakal di Golok.
"Masa kecil ibu bapa saya pindah ke Thailand, mungkin kerana ayah tengok keadaan di Golok ramai budak nakal, jadi dia minta bapa saudara bernama Husin Harun menjaga kami.
"Kehidupan waktu itu miskin sangat. Ibu dan bapa saudara saya penoreh getah. Saya masih ingat kami akan bangun pagi dan bungkus nasi guna upih pinang untuk dibawa ke sekolah. Selepas bapa saudara bina sebuah pondok di kawasan sekolah, saya dan yang lain duduk di situ, masak sendiri ikan kering, bakar atau goreng,” katanya.
Bapa kepada enam anak itu berkata, beliau mula menanam iltizam belajar bersungguh-sungguh selepas melihat kehebatan beberapa anak Melayu dari Kolej Melayu Kuala Kangsar ketika duduk bersantai di pondok berdekatan sekolahnya.
"Saya nampak mereka pakai baju putih dan seluar putih, bercakap pula dalam bahasa Inggeris... nampak sungguh hebat.
"Masa itu ramai juga budak Kelantan yang lanjutkan pelajaran di Universiti Singapura. Bila pulang bercuti, mereka akan ke sekolah untuk memberi inspirasi kepada pelajar di situ.
"Jadi saya belajar betul-betul sehingga dapat masuk ke Victoria Institution di Kuala Lumpur,” ceritanya.
Bentong Kali
Diberi amanah mengetuai beberapa penyiasatan kes jenayah dalam negara, Zaman Khan berkata, antara insiden tidak dapat dilupakan adalah apabila penjenayah paling dikehendaki polis pada tahun 1990-an, P Kalimuthu atau dikenali sebagai Bentong Kali menghubunginya.
Bentong Kali sebelum itu menghubungi pejabatnya dan panggilan itu disahut oleh pembantu peribadinya yang bernama Zainab.
"Bentong Kali beritahu Zainab dia nak bercakap dengan saya tapi pembantu saya suruh dia jumpa saya di kelab golf.
"Masa saya sedang bermain golf, Bentong Kali hubungi dan beritahu dia nak jumpa sambil beberapa kali kata nak ‘hantam’ saya. Saya pun terus suruh dia datang ke kelab golf masa itu tapi tak pula dia datang.
"Dia tahu saya ambil alih kes tersebut. Dia takut, jadi dia cabar saya,” kata Zaman Khan ketika ditemui di rumahnya di Ampang, Selangor.
Datuk kepada 21 cucu dan dua cicit itu berkata, jenayah dilakukan Bentong Kali amat ganas. Dia membunuh sesiapa sahaja yang diingininya tanpa sebab munasabah. Pihak polis menerima maklumat Bentong kali mengganas disebabkan mahu menjadi pengedar dadah terbesar di Lembah Klang.
"Dia tembak beberapa orang di Balakong, ada seorang mangsanya ditembak selepas menegur perbuatannya buang air di tingkat bawah sebuah pangsapuri malah seorang pembuat teh tarik juga ditembak hanya kerana cakap polis tengah cari dia.
"Susah sangat nak berkas Bentong Kali sebab dia ada banyak ‘kaki’ beri maklumat kepadanya. Jadi saya beritahu kepada orang ramai, dia (Bentong Kali) tak ada di Kuala Lumpur semata-mata supaya dia berani keluar. Dia terkena pasal (maklumat) itu,” katanya.
Hasil daripada helah itu, polis menerima risikan Bentong Kali menyewa tingkat atas sebuah rumah dua tingkat di Medan Damansara, Bangsar.
"Bila dia tahu polis dah kepung rumah itu, dia cuba nak lompat dari beranda tapi tak sempat sebelum ditembak mati.
"Masa itu ramai yang tak percaya. Bos saya Ketua Polis Negara masa itu, Tun Mohammed Hanif Omar pun tanya betul ke? Yang seronoknya, bila orang ramai tahu Bentong Kali sudah diberkas, mereka bersama petugas media yang berada di lokasi bertepuk tangan sebagai tanda penghargaan,” katanya.
Zaman Khan yang juga bekas Ketua Pengarah Penjara berkata, selain peristiwa itu beliau yang merupakan anak keempat daripada sembilan beradik juga tidak dapat melupakan beberapa kejadian ketika mengendalikan kes melibatkan Maznah Ismail atau Mona Fandey dan insiden tawanan tebusan di Bangunan AIA, Jalan Ampang Kuala Lumpur oleh Tentera Merah Jepun pada tahun 1975.
Semasa ingin menyoal siasat Mona Fandey pula, pembantu peribadi Zaman Khan cukup bimbang kalau beliau terkena jampi, jadi dia bertindak mengikut Zaman Khan dari belakang.
"Yang hairan pemandu saya yang mengikut ke mana saja saya pergi jatuh sakit selepas kes itu kononnya terlangkah tulang seorang wanita yang ditanam di sekitar lokasi kejadian.
"Saya pula mengalami kaki bengkak berwarna kemerahan, dua tiga kali kena penyakit itu. Orang kata mungkin saya ‘terlangkah’ sesuatu semasa menyiasat tempat tersebut,” ceritanya lagi.
Kini, pada usia 82 tahun, Zaman Khan masih aktif memberikan pandangan dalam beberapa pertubuhan bukan kerajaan yang disertainya.