Agong permata di hati rakyat jelata

Iklan
Kasih sayang Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong menjadi tonggak yang memayungi rakyat Malaysia.

TANGGAL 8 Jun 2020 bersamaan dengan 16 Syawal 1441 Hijrah merupakan tarikh penting dalam kalendar negara. Tarikh ini telah diisytiharkan sebagai ulang tahun Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong bagi tahun ini.

Atas titah perkenan Seri Paduka Baginda, kerajaan juga telah menetapkan bagi tahun-tahun berikutnya selama pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda akan diraikan pada setiap hari Isnin pertama bagi bulan Jun.

Iklan
Iklan

Menjadi kelaziman setiap kali tibanya Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, pelbagai acara rasmi diadakan bagi menyambut hari tersebut dengan penuh gilang-gemilang. Antara acara utama ialah Istiadat Menghadap dan Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan.

Acara-acara lain yang lazimnya diadakan termasuklah Istiadat Mengarak Panji-Panji Yang di-Pertuan Agong, majlis bacaan Yasin dan doa selamat, majlis jamuan teh serta lawatan Raja Permaisuri Agong ke rumah kebajikan atau hospital.

Iklan

Sepanjang 14 tahun saya bertugas di Istana Negara, ini kali kedua Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan dan acara-acara lainnya tidak dilangsungkan ketika tarikh keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong.

Pengalaman saya yang pertama adalah pada tahun 2018 apabila Yang di-Pertuan Agong ke-15, Sultan Muhammad V menitahkan istiadat pengurniaan darjah kebesaran dan jamuan teh tidak diadakan bagi membolehkan peruntukan majlis itu disalurkan kepada Tabung Harapan yang ditubuhkan oleh kerajaan. Ini merupakan suatu manifestasi keprihatinan dan sokongan Seri Paduka Baginda kepada langkah kerajaan untuk membelanjakan dana negara secara berhemah.

Iklan

Namun pada tahun ini, Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan serta acara-acara lain ditangguhkan atas titah perkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Riayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al-Marhum Sultan Ahmad Shah Al-Musta’in Billah memandangkan negara sedang berdepan dengan ancaman Covid-19. Ini kerana pada hemat Seri Paduka Baginda, keselamatan dan kemaslahatan rakyat adalah jauh lebih penting dan perlu diutamakan.

Al-Sultan Abdullah berkenan menerima menghadap Datuk Paduka Maharaja Lela, Datuk Azuan Effendy yang sudah setahun enam bulan berkhidmat di bawah naungan Seri Paduka Baginda.

Wujud persamaan ketara dalam kedua-dua situasi apabila kedua-dua Yang di-Pertuan Agong telah menitahkan supaya istiadat kebesaran utama dibatalkan dan ditangguhkan atas kepekaan keadaan dan cabaran didepani rakyat dan negara.

Keputusan penuh hikmah dan bertanggungjawab itu menepati peranan dan sifat raja sebagaimana yang dititahkan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada Konvensyen Memperkukuh Pasak Negara: Ke Arah Wasiat Lebih Tersurat di Putrajaya pada Ogos 2017:"Raja tidak sekadar pelengkap memenuhi adat, negara beraja-rakyat bersultan. Raja bukan sekadar simbol untuk melaksanakan tugas-tugas keraian semata-mata. Raja bukanlah monumen hiasan yang kaku tanpa nyawa, tanpa jiwa. Raja-raja tidak daripada kalangan insan yang buta penglihatan, pekak pendengaran dan bisu pertuturan. Segala perkara yang berlaku adalah dalam ruang penglihatan dan pendengaran Raja-Raja.”

Sungguhpun tiada sebarang istiadat dan acara rasmi yang berlangsung pada Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda pada tanggal 8 Jun yang lalu, adalah tidak wajar untuk hari tersebut dibiar berlalu begitu sahaja. Ia perlu dihayati sebagai hari penting negara dengan mempertingkatkan pemahaman serta memperteguhkan kesedaran tentang betapa pentingnya institusi Yang di-Pertuan Agong dalam sistem Raja Berperlembagaan.

Surau Istana Negara

Rakyat Malaysia seharusnya berasa bertuah kerana tonggak utama negara yang menaungi negara dan memayungi rakyat adalah merupakan sosok Ketua Negara yang begitu mendekati rakyat.

Saya sendiri berasa sungguh bersyukur berpengalaman berkhidmat dan melihat secara dekat keperibadian istimewa Al-Sultan Abdullah. Tentunya ketinggian keperibadian Yang di-Pertuan Agong ini dilengkapi penuh seri dengan kemolekan peribadi Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang turut dekat di hati rakyat.

Sepanjang saya berkhidmat di bawah naungan Seri Paduka Baginda di Istana Negara selama setahun enam bulan (semenjak 31 Januari 2019), pelbagai pembaharuan dan inisiatif baharu telah diterapkan oleh Tuanku.

Saya masih ingat lagi, pada minggu-minggu pertama pemerintahan Yang di-Pertuan Agong ke-16, Seri Paduka Baginda telah menitahkan agar kajian dijalankan berkenaan kesesuaian untuk mengadakan solat Jumaat di surau Istana Negara.

Titah jelas Al-Sultan Abdullah, keputusan menjadikan surau Istana Negara sebagai solat Jumaat yang bakal dibuka kepada umum akan menjadi legasi pertama pemerintahan Seri Paduka Baginda.

Mengadakan solat Jumaat di Istana Negara bermakna kita perlu membuka akses ke Istana Negara setiap minggu kepada umum. Tentulah pada mulanya disembah kepada Tuanku mengenai kegusaran daripada segi keselamatan, kawalan dan bilangan jemaah, kesesuaian pakaian dan sebagainya. Namun titah Tuanku, surau Istana Negara telah dibina dengan begitu luas dan selesa maka seharusnyalah rakyat terutamanya jemaah di sekitar kawasan Istana Negara diberi peluang untuk menikmati kemudahan untuk mengerjakan solat Jumaat di situ.

Berkenaan isu pakaian, Tuanku bertitah agar pengurusan Istana Negara memberi kelonggaran dari segi etika berpakaian apabila jemaah tidak perlu berbaju Melayu lengkap bersongkok dan bersamping, memadailah dengan berpakaian kemas dan sopan. Maka pada 15 Februari 2019, surau Istana Negara telah dibuka untuk solat Jumaat kepada khalayak.

Keputusan Tuanku bukan sahaja membuka akses kepada Istana Negara secara lahiriah, tetapi juga mendekatkan rakyat setempat kepada institusi diraja dan Istana Negara. Jelas dilihat hemah dan kebijaksanaan tinggi Seri Paduka Baginda dalam menggalas peranan sebagai Ketua Agama Islam.

Sepanjang tempoh pemerintahan Tuanku, ia tidak sunyi daripada konflik dan pelbagai ujian. Bermula daripada peristiwa besar peralihan kuasa kerajaan, pemilihan Perdana Menteri, hinggalah kepada ancaman wabak Covid-19, semuanya dihadapi oleh Tuanku dengan tenang dan berhemah.

Dalam kekalutan politik negara, Seri Paduka Baginda bertindak dengan adil setelah mendapat nasihat dan menerima pandangan semua, termasuklah menitah perkenan untuk diadakan Mesyuarat Khas Majlis Raja-Raja secara tergempar bagi mendapatkan pandangan daripada Duli-Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja berhubung kemelut politik yang berlaku.

Sewaktu keadaan sedang ‘panas’ di dalam Istana Negara, Seri Paduka Baginda mencuri masa untuk memandu sendiri ke Pintu 2 Istana Negara di mana para pengamal media sedang berkumpul untuk mendapatkan berita. Tuanku menyantuni mereka dan mengurniakan makanan tengah hari serta menitahkan agar rakyat bersabar dan memberikan Seri Paduka Baginda sedikit masa untuk menjalankan tanggungjawab.

Ini sekali gus membunuh spekulasi dan andaian yang berlegar dalam kalangan rakyat. Ini juga memberikan signal kepada rakyat bahawa Istana Negara komited dalam memainkan peranannya untuk memastikan keadaan terkawal dan pemilihan berlaku dengan baik dan rakyat tidak perlu berasa bimbang.

Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong kedua-dua memiliki sifat sangat kuat bekerja. Al-Sultan Abdullah sentiasa memastikan kesemua dokumen kerajaan diteliti sebaiknya dan seringkali juga memberikan sudut pandang serta panduan Seri Paduka Baginda kepada Memanda-Memanda Menteri.

Sementara berkenaan hal ehwal tadbir urus domestik Istana Negara, diperhalusi dengan teliti oleh Raja Permaisuri Agong. Sekiranya ada majlis-majlis jamuan dan keraian di Istana Negara, Raja Permaisuri Agong pasti memberikan sentuhan ‘air tangan’ Seri Paduka Baginda melalui pelbagai jenis masakan. Antara yang terkenal ialah harisa, kek buah, aiskrim pelbagai perisa, laksa Pahang dan sebagainya. Ini kerap menerima pujian tetamu-tetamu termasuk tetamu asing kerana keaslian rasa masakan-masakan Tuanku Permaisuri.

Ke mana sahaja Tuanku berdua berangkat, pastinya lensa kamera pasti tidak terlepas daripada menyorot ke arah Seri Paduka Baginda berdua. Ini kerana reaksi bersahaja Tuanku berdua selalu ditunggu-tunggu rakyat jelata. Keterbukaan Tuanku Berdua dalam menyantuni permintaan rakyat jelata waima untuk bersalaman dan bergambar sekalipun cukup besar ertinya kepada rakyat.

Al-Sultan Abdullah dan Tunku Azizah berbuka puasa bersama.

Dekat di hati rakyat

Saya melihat sendiri peristiwa di mana Tuanku berdua berangkat bersiar-siar di sekitar Sungai Lembing, Pahang, sebelum terserempak dengan pasangan pengantin baharu yang sedang mengadakan sesi fotografi. Seri Paduka Baginda berdua secara bersahaja menawarkan diri untuk bergambar bersama-sama dengan pasangan pengantin. Saya masih ingat lagi riak wajah kelu, tidak terkata dan gembiranya pasangan pengantin tersebut.

Terdapat juga insiden kenderaan rasmi yang membawa Yang di-Pertuan Agong dititah berhenti sewaktu melalui kawasan kemalangan. Seri Paduka Baginda berhasrat untuk melihat keadaan mangsa kemalangan yang mungkin perlukan bantuan segera. Ia kemudian diganti dengan senyum lebar oleh mangsa kemalangan yang kemudiannya memohon perkenan supaya dapat bergambar dengan Yang di-Pertuan Agong. Tuanku hanya tersenyum melihatkan keletah pemuda tersebut sambil berkenan untuk bergambar bersama.

Sifat bersahaja Seri Paduka Baginda berdua juga amat disenangi dan memudahkan para petugas kakitangan Istana Negara. Seri Paduka Baginda berdua tidak kekok bersemayam di kerusi meja restoran biasa ataupun di kafeteria kakitangan Istana Negara mahupun di atas tikar di padang awam untuk bersantap bersama rakyat jelata tanpa sebarang protokol.

Antara kelebihan yang sangat terserlah yang ada pada Yang di-Pertuan Agong yang jarang diketahui oleh khalayak umum adalah kelebihan Tuanku bertitah secara spontan dan tanpa teks (off the cuff). Baginda begitu bijak menyesuaikan titah yang disampaikan kepada golongan sasar atau masyarakat tertentu yang didampingi mengikut latar belakang pendidikan, lokaliti dan umur.

Al-Sultan Abdullah tidak kekok untuk makan bersama rakyat jelata di restoran atau kedai biasa.

Semasa Seri Paduka Baginda berangkat ke negeri Sarawak pada April 2019, selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Darul Hana, Tuanku telah berkenan untuk menzahirkan titah kepada semua yang hadir mengerjakan solat Jumaat di masjid berkenaan. Walaupun titah ucapan tiada dalam program, namun Al-Sultan Abdullah telah memberikan titah secara spontan dengan menekankan betapa terharunya dengan sambutan dan layanan begitu meriah yang diberikan oleh kerajaan dan rakyat Sarawak.

Apabila Istana Negara mengadakan majlis santapan teh dan mempersilakan tenaga-tenaga pengajar dan rakan sekelas Seri Paduka Baginda semasa menuntut di Sekolah Menengah Kebangsaan St Thomas, Kuantan, Al-Sultan Abdullah bertitah dengan begitu merendah diri dan menzahirkan ucapan terima kasih kepada setiap guru yang telah mengajarnya dulu. Seorang demi seorang nama guru yang hadir disebut oleh Tuanku tanpa tertinggal satu nama sekalipun.

Bersempena dengan Hari Keputeraan Rasmi Seri Paduka Baginda, marilah kita bersama-sama membulat tekad memperteguhkan dokongan terhadap institusi Yang di-Pertuan Agong yang menjadi kuasa pengimbang kepada ketiga-tiga badan eksekutif, kehakiman dan perundangan di dalam negara agar cabang-cabang tersebut dalam melaksanakan peranannya degan adil serta penuh tanggungjawab. Institusi ini merupakan perlambangan kepada kedaulatan negara yang menaungi rakyat tanpa mengira bangsa dan agama.

Bak kata pepatah lama:

"Elok negeri kerana ada Raja,

Elok kampung kerana ada tuanya,

Bila negeri tiada Beraja,

Bila kampung tiada berpenghulu,

Bila rumah tidak bertuan,

Angin lalu tempias pun lalu,

Tuah hilang maruah terbuang,

Hidup celaka sengketa datang.”

Daulat Tuanku! Dirgahayu Tuanku!

**Datuk Azuan Effendy Zaira ialah Datuk Paduka Maharaja Lela Istana Negara