Pelajar 9A SPM calon Biasiswa Yayasan Bank Rakyat

Iklan
Norashikin (kanan) menyampaikan bantuan awal pengajian kepada Maizatul Akmal di rumahnya di Tanjung Lumpur baru-baru ini.

KUANTAN - Kejayaan Maizatul Akmal Mahat, 18, yang mendapat keputusan 9A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019 walaupun berhadapan keperitan serta kepayahan hidup membolehkan beliau tersenarai sebagai seorang calon penerima Biasiswa Yayasan Bank Rakyat 2020.

Pengurus Besar Yayasan Bank Rakyat, Norashikin Shaharudin berkata, kisah Maizatul Akmal pernah tular di media sosial dengan bantuan guru Pendidikan Islam, Ustazah Zawil Faizah Paidi yang simpati dengan kehidupannya di Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) Tanjung Lumpur.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kehidupan remaja tersebut yang tinggal sebatang kara tanpa keluarga dan hanya bergantung kepada bapa saudaranya yang juga pemegang kad orang kurang upaya (OKU) telah menarik perhatian Yayasan Bank Rakyat untuk menyantuni Maizatul Akmal.

"Yayasan Bank Rakyat merupakan organisasi pertama yang menjemputnya untuk memohon biasiswa. Beliau kini menunggu tawaran melanjutkan pelajaran dalam bidang perubatan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Iklan

"Kehidupan Maizatul Akmal wajar dijadikan contoh terbaik untuk pelajar lain. Walaupun hidup sendirian beliau tidak patah semangat untuk menuntut ilmu dan mencapai apa yang dihajatkan,” katanya yang mengunjungi pelajar itu bagi menyampaikan bantuan awal pengajian sebanyak RM1,500.

Sehingga Jun 2020, Yayasan Bank Rakyat telah membantu lebih 5,399 pelajar dengan jumlah tajaan keseluruhan melebihi RM130 juta.

Iklan