BIARPUN pahit untuk ditelan, hakikatnya senario semasa susulan pandemik koronavirus (Covid-19) telah memberi kesan terhadap pelbagai aspek kehidupan, paling signifikan kedudukan kewangan dan ekonomi individu dan isu rumah.
Sebelum kehadiran virus maut yang melumpuhkan sektor ekonomi yang menjejaskan pendapatan negara dan menyebabkan ramai kehilangan punca pendapatan itu, kita seolah-olah leka dan tidak menitik beratkan perkara berkaitan pengurusan kewangan.
Kini, ramai yang berasa terbeban dan buntu dalam melunaskan segala macam tanggungjawab termasuk membuat pembayaran balik pinjaman kepada institusi kewangan.
Pengumuman penangguhan bayaran balik selama enam bulan bagi Sewa Beli dan pembiayaan Islam berkadar tetap secara automatik oleh Bank Negara Malaysia (BNM) bermula 1 April lalu hingga 30 September, ternyata memberi nafas lega kepada ramai pihak.
Namun dengan hanya tinggal beberapa bulan sebelum moratarium berakhir, adakah rakyat negara ini sudah bersedia untuk kembali membuat pembayaran seperti asal atau ia perlu dilanjutkan dengan beberapa syarat tertentu.
Ketua Penganalisis Ekonomi Bank Islam, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, moratorium perlu dilanjutkan tetapi perlu melalui proses permohonan dan hanya mereka yang benar-benar layak sahaja diberikan penangguhan.
"Kita tidak mahu situasi 'moral hazard' yang mana masyarakat mengambil mudah dalam hal pembayaran hutang ini.
"Justeru, langkah untuk memanjangkan penangguhan perlu bersasar. Dan berkemungkinan perlu melihat kedudukan kewangan seseorang itu dengan lebih menyeluruh seperti melibatkan penstrukturan semula hutang-hutang yang sedia ada supaya dapat dilunaskan dengan lancar," katanya kepada Sinar Harian.
Menurut Mohd Afzanizam, sektor perbankan sememangnya berada di posisi yang kukuh dan bank-bank di Malaysia ini mempunyai kecairan dan modal yang tinggi.
"Perkara ini membolehkan mereka boleh terus menjalankan perniagaan seperti biasa iaitu menerima deposit dan memberi pinjaman. Bagaimanapun, risiko agak rendah berikutan suasana ekonomi yang lembap. Justeru, bank-bank Malaysia akan lebih berhati-hati dalam meluluskan sesuatu permohonan pinjaman itu," katanya.
Ditanya apa antara syarat yang boleh dikenakan sekiranya moratorium dilanjutkan, Mohd Afzanizam berkata, pertama, perlu dipastikan sektor ekonomi yang masih lagi terjejas meskipun Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) telah dilaksanakan.
"Syarat ini bagi memastikan hanya mereka yang benar-benar layak sahaja yang boleh diberikan penangguhan.
"Kedua, peminjam perlu telus dan jujur dalam menilai kedudukan kewangan mereka. Dengan ini dapat dipastikan apakah keperluan mereka dalam menangguhkan pembayaran hutang-hutang mereka," katanya.
Beliau menambah, amat penting literasi kewangan diterapkan kepada seluruh rakyat Malaysia supaya isu keberhutangan yang tinggi dapat dielakkan. Jadi jika berlaku suatu bencana kewangan, kesannya dapat diminimumkan.
"Contohnya, bagi mereka yang mempunyai aset yang cair seperti wang tunai, saham, unit amanah, barang kemas dan sebagainya, aset-aset ini boleh digunakan untuk melunaskan hutang sekiranya berlaku bencana ekonomi dan kewangan peribadi.
"Oleh itu, amat penting untuk memastikan seseorang itu betul-betul mampu dalam melunaskan hutang sebelum mengambil sesuatu fasiliti kewangan.
"Contohnya, nisbah pembayaran hutang atau Debt Service Ratio (DSR) yang rendah menandakan seseorang itu mempunyai keupayaan yang tinggi untuk membayar hutang. Jadi janganlah DSR ini melebihi angka yang tinggi seperti 70 peratus dan keatas. DSR yang tinggi menyebabkan seseorang itu begitu terdedah kepada bahaya kewangan seperti pengurangan pendapatan," katanya.
Moratorium bantu pekerja yang diberhentikan
Berdasarkan ketidaktentuan situasi ekonomi domestik dan antarabangsa serta politik, lanjutan moratorium selama enam bulan lagi sudah pasti akan memberikan ruang selesa untuk bernafas terutamanya kepada rakyat yang telah diberhentikan kerja.
Pakar Kewangan Pengguna, Profesor Madya Dr Mohamad Fazli Sabri berkata, pelaksanaan moratorium merupakan satu insentif yang amat membantu individu dan isi rumah di negara ini.
"Pelaksanaan moratorium ini banyak membantu dengan memastikan kuasa beli pengguna boleh diteruskan sekali gus merangsang pendapatan dan ekonomi negara," katanya kepada Sinar Harian.
Mohamad Fazli yang juga Timbalan Dekan (Pengajian Siswazah, Jaringan Industri dan Masyarakat), Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia berkata, selain meringankan bebanan kewangan individu dan isi rumah yang terjejas teruk ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan hampir tiga bulan, moratorium turut memberi peluang kepada orang ramai untuk menambah tabungan.
"Wang yang dijimatkan susulan penangguhan pembayaran tersebut harus dimanfaatkan sebaik mungkin dengan menambah tabungan terutama untuk tabungan kecemasan," katanya lagi.
Mohamad Fazli berkongsi Kaji Selidik Keupayaan dan Rangkuman Kewangan dari Sudut Permintaan 2018 (Financial Capability and Inclusion Demand Side Survey 2018, FCI 2018) oleh BNM, mendedahkan empat perkara yang membimbangkan tentang rakyat Malaysia iaitu tahap pengetahuan kewangan, simpanan dan belanjawan, kesediaan menghadapi peristiwa yang tidak dijangka dalam kehidupan dan perancangan untuk persaraan.
"Dalam konteks kesiapsiagaan menghadapi situasi di luar jangkaan, contoh terdekat ialah apa yang sedang kita hadapi sekarang ini. Dapatan kajian menunjukkan bahawa lebih daripada satu per dua (52 peratus) rakyat Malaysia menyatakan sukar buat mereka untuk menyediakan sejumlah wang sebanyak RM1,000 sekiranya berlaku kecemasan.
"Hanya 24 peratus rakyat Malaysia dapat menampung perbelanjaan sara hidup untuk sekurang-kurangnya tiga bulan atau lebih sekiranya kehilangan sumber pendapatan utama mereka. Manakala 10 peratus sahaja yang menyatakan bahawa mereka boleh bertahan untuk lebih daripada enam bulan.
"Daripada sudut pengurusan risiko diri dan keluarga pula, hanya 17 peratus sahaja rakyat Malaysia mempunyai insurans hayat dan perlindungan takaful," katanya.
Statistik tersebut menunjukkan rakyat Malaysia mempunyai risiko yang amat tinggi untuk berhadapan dengan masalah kewangan peribadi yang serius sekiranya mereka tidak mempunyai simpanan yang mencukupi bagi keperluan masa kecemasan dan masa hadapan.
Kajian oleh penyelidik tempatan turut mendapati kebanyakan rakyat negara ini menumpukan kepada perbelanjaan keperluan semasa berbanding keperluan masa hadapan.