GEORGETOWN - Pemandu kereta Toyota Vios yang merempuh kenderaan SUV Mazda CX-5 dalam kemalangan di Jambatan Pulau Pinang awal pagi semalam didapati positif dadah.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah (SPT), Asisten Komisioner Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid berkata, ujian saringan awal lelaki berusia 21 tahun itu mendapati positif ganja.
Menurutnya, polis telah mengambil sampel darah lelaki yang bekerja sebagai pendandan rambut itu untuk mengetahui kandungan alkohol dalam darahnya.
"Lelaki itu kini sedang dirawat di sebuah hospital swasta kerana mengalami kecederaan pada kepala, kaki dan tangan. Sebelum ini, dia dirawat di Hospital Seberang Jaya dan telah dibenarkan pulang.
"Namun dia telah pengsan di rumahnya menyebabkan keluarganya menghantarnya ke hospital swasta untuk menerima rawatan selanjutnya. Kita akan mengambil keterangannya selepas dia dibenarkan pulang nanti," katanya kepada media di sini tadi.
Tambahnya, mangsa dan lelaki tersebut merupakan rakan sejak di sekolah rendah.
"Mereka menghadiri majlis sambutan hari jadi salah seorang rakan mereka di sebuah pusat hiburan di Lebuh Chulia sebelum kejadian bersama lima rakan yang lain. Kesemua mereka pulang ke rumah masing-masing pada jam 2.30 pagi.
"Lima rakan mereka tinggal di bahagian pulau manakala mangsa dan lelaki ini tinggal di Perai," katanya.
Dipercayai ketika kejadian, kedua-dua pemandu tersebut sedang berlumba namun siasatan masih dijalankan.
AKAN MENYUSUL