Tak sempat 'makan besar' dalam reban itik

Iklan
Anggota APM Padang Terap, Sabariah Kifli (kiri) dan Fazalriduan Mohd Fuzi mengambil masa kira-kira 30 minit untuk menangkap ular sawa batik di Kampung Padang Nyior, Padang Sanai kira-kira jam 8 pagi tadi.FOTO IHSAN APM DAERAH PADANG TERAP

KUALA NERANG - Seekor ular sawa batik sempat menelan seekor itik sebelum ditangkap oleh anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Padang Terap di sebuah reban di Kampung Padang Nyior, Padang Sanai kira-kira jam 8 pagi tadi.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Padang Terap, Leftenan Mohd Shukri Shuib berkata, empat anggotanya mengambil masa lebih 30 minit untuk menangkap reptilia tersebut kerana berada di tempat yang sempit.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ular itu juga didapati cuba memakan lagi itik lain yang berada di dalam reban itu dan bertindak agresif semasa anggota APM cuba menangkapnya.

"Ular sawa ini 'melawan' dan cuba 'mematuk' beberapa kali kaki anggota saya yang cuba menangkapnya. Namun pengalaman yang ada dan sikap tenang anggota APM, ular ini berjaya ditangkap dalam tempoh lebih kurang 30 minit," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Iklan

Terdahulu, pemilik reban itu, Che Mad Murad menghubungi APM kira-kira jam 7.52 pagi selepas mendengar bunyi bising yang datang dari reban itiknya itu.

Mohd Shukri berkata, panjang ular sawa tersebut dianggarkan lebih lima meter dan beratnya pula lebih 40 kilogram.

Iklan

"Ular tersebut dibawa balik ke pusat kawalan operasi daerah APM dan kemudian seterusnya akan diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (Perhilitan),"katanya.