JSJN rampas pelbagai jenis dadah RM17.47 juta

Iklan
Ayob Khan Mydin Pitchay

JOHOR BAHRU - Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Johor merampas pelbagai jenis dadah seberat 866.65 kilogram (kg) bernilai RM17.47 juta dari Januari hingga 13 Jun lalu.

Ketua Polis Johor, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sepanjang tempoh itu seramai 7,739 individu ditahan atas pelbagai kesalahan dadah.

Iklan
Iklan

"Turut disita harta bernilai RM7.73 juta sepanjang tempoh itu. Kita berharap orang ramai akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti dadah di sekeliling mereka," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis (IPK) Johor di sini hari ini.

Sementara itu, beliau berkata, pihaknya menjangkakan aktiviti penyeludupan warganegara asing melalui negeri ini akan kembali aktif melalui jalan laut atau darat dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Iklan

Menurutnya, ramai akan mencuba serta mengambil kesempatan ketika PKPP dilaksanakan dan pihaknya akan meningkatkan operasi di lokasi strategik selain terus melaksanakan Ops Benteng.

Jelasnya, walaupun kegiatan penyeludupan manusia sudah 95 peratus berjaya dilumpuhkan selepas menahan 40 anggota sindiket tersebut pada awal bulan ini, aktiviti jenayah rentas sempadan itu masih cuba dilakukan.

Iklan

Katanya, ini kerana ahli sindiket berkenaan memperoleh hasil lumayan hampir RM2,000 untuk setiap seorang pendatang asing tanpa izin (PATI) yang dibawa masuk atau keluar ke negara ini menerusi jalan laut.

"Contohnya kita menahan kira-kira 20 migran yang baru masuk di kawasan pantai timur negeri ini pada dua hari lalu. Mereka biasanya datang dari Batam atau Bintan, Indonesia sebelum mendarat di pesisiran pantai timur Johor," katanya.