SHAH ALAM - Dewan Ulamak Pas Pusat (DUPP) membantah pelantikan peguam, Eric Paulsen sebagai Ahli Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia (MPKM), selain menggesa Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah menarik semula pelantikan tersebut.
Ketua Penerangannya, Mohd Nor Hamzah berkata, lantikan dibuat seolah-olah tidak sensitif dengan apa yang dibawa individu terbabit yang didakwa terkenal dengan gerak kerja promosi serta menyokong kuat pelbagai aliran sesat yang merosakkan struktur sosial seperti liberalisme, humanisme, hedonisme dan lesbian, Gay, biseksual dan transgender (LGBT).
Menurutnya, kerajaan Perikatan Nasional pada hari ini perlu lebih peka dengan isu-isu sensitif sedemikian dan mengambil pengajaran agar tidak mengulangi kesilapan kerajaan Pakatan Harapan terdahulu.
"Walaupun apa niat dan tujuan pelantikan itu dibuat, namun imej rosak oleh individu terbabit terlalu besar dan dibimbangi pelantikannya itu kelak lebih membawa keburukan daripada manfaat yang diharapkan.
ARTIKEL BERKAITAN: Pas bantah pelantikan Eric Paulsen
Apa motif Saifuddin pilih Eric Paulsen wakili Malaysia ke AICHR: Nasrudin
"DUPP menasihatkan apa jua lantikan yang dibuat oleh mana-mana kementerian wajar dipertimbangkan lebih serius bagi memastikan justifikasi kelayakan yang kompetensi dan beramanah bagi memastikan perjalanan urus tadbir berjalan dengan baik,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, suasana di Malaysia selepas peralihan kerajaan kepada Perikatan Nasional menyaksikan majoriti rakyat Malaysia yang dominannya dalam kalangan Melayu Muslim sangat selesa tanpa pengaruh pimpinan Pakatan Harapan sebelum ini yang membuka ruang terbuka kepada suburnya ideologi dan kefahaman songsang terzahir di media dan posisi tertentu.
Sehubungan itu katanya, DUPP juga yakin seluruh umat Islam khususnya membantah pelantikan Eric Paulsen ini kerana latar belakangnya yang tidak membawa apa-apa kebaikan selain hanya menimbulkan keraguan dengan kefahaman yang songsang dan merosakkan.
"Kepada menteri di kementerian yang berkenaan, diharapkan kebimbangan umat Islam ini diambil peduli dengan memastikan pelantikan Eric Paulsen ditarik semula secara serta-merta,” katanya yang juga merupakan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Payong.