Zoo Taiping benarkan kanak-kanak masuk

Iklan
Raja Zuhairi bersama keluarga mengambil peluang berkunjung ke Zoo Taiping dan Night Safari sempena hari pertama pembukaan hari ini.

TAIPING - Kanak-kanak dibenarkan mengunjungi Zoo Taiping dan Night Safari dengan syarat memakai alat pelindung diri setiap waktu.

Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan negeri, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi berkata, berbanding keadaan pasar raya yang sesak, pembukaan semula zoo kepada orang awam dilakukan dengan pembudayaan normal baharu termasuk menghadkan kemasukan pengunjung bagi satu-satu masa.

Iklan
Iklan

"Tidak ada peraturan yang spesifik dari segi umur pengunjung, tetapi kita anjurkan bagi kanak-kanak untuk sentiasa memakai topeng muka.

"Bagi memastikan tidak berlaku kesesakan, kapasiti pengunjung di sini telah dihadkan kepada 500 orang sahaja bagi satu-satu masa dalam tempoh satu ke dua jam," katanya pada program pembukaan semula Zoo Taiping dan Night Safari di sini hari ini.

Iklan

Terdahulu Zoo Taiping dan Night Safari mengumumkan pembukaan semula operasi kepada orang awam bermula hari ini dengan tawaran diskaun harga sebanyak 20 peratus.

Waktu operasi Zoo Taiping adalah dari jam 8.30 pagi hingga 6 petang manakala waktu operasi Night Safari pula dari 8 hingga 10 malam.

Iklan

Nolee Ashilin berkata, kerja-kerja disinfeksi akan dilakukan setiap hari di seluruh kawasan zoo bagi memastikan pengunjung berasa selamat dan yakin.

Nolee Ashilin menyambut kehadiran pengunjung cilik yang berkunjung ke Zoo Taiping dan Night Safari hari ini.

"Kita faham keadaan masyarakat yang masih dalam situasi kebimbangan kerana itu beberapa syarat dan langkah keselamatan perlu dipatuhi, ini termasuklah persediaan fizikal dan pencegahan kesihatan," katanya.

Seorang pengunjung, Raja Zuhairi Raja Jaafar, 51, memuji pematuhan prosedur operasi standard (SOP) ketat yang dilaksanakan di kawasan berkenaan yang disifatkan teratur dan terkawal.

"Saya kira tiada apa perlu dibimbangkan selagi kita patuhi SOP dan dengar arahan diberikan petugas.

"Sejak masuk tadi, saya nampak penjarakkan sosial dijaga dan pengunjung serta petugas memakai pelitup muka (topeng muka), itu membuatkan suasana di sini selamat," katanya.

Raja Zuhairi dari Kuala Kangsar mengambil kesempatan pembukaan hari pertama Zoo Taiping dan Night Safari hari ini dengan membawa isteri dan tiga anaknya bercuti di Taiping selepas tiga bulan berkurung di rumah.

"Anak-anak memang tak sabar ajak bercuti dan saya kebetulan zoo dah dibuka, jadi sesuai sangatlah kami ke sini," katanya.

Terdahulu, Kementerian Kesihatan (KKM) menyokong usaha pasar raya tertentu yang meletakkan syarat had umur bagi mencegah golongan berisiko tinggi terdedah kepada jangkitan koronavirus (Covid-19).

Ia termasuk warga emas yang berusia 60 tahun dan kanak-kanak berusia di bawah 12 tahun.