KUANTAN - Seorang pengarah syarikat berkaitan pelaburan pertanian didakwa di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tiga tuduhan menipu skim pelaburan tidak wujud membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM148,000, tujuh tahun lalu.
Tertuduh, Goh Teik Keng, 44, mengaku tidak bersalah terhadap semua pertuduhan itu di hadapan Majistret, Najwa Hashim.
Berdasarkan pertuduhan, Teik Keng bersama-sama yang masih bebas didakwa menipu dengan menawarkan skim pelaburan Century Dynasty yang tidak wujud dan mendorong mangsa berusia 51 tahun memasukkan wang RM50,000 ke dalam akaun milik Syarikat Century Dynasty Resource Sdn Bhd.
Dia didakwa melakukan kesalahan di Maybank Kuantan, kira-kira jam 9 pagi hingga 5 petang, pada 26 Jun 2014.
Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menipu dan mendorong mangsa berusia 36 tahun supaya menyerahkan wang RM50,000 bagi skim pelaburan sama di Bank Hong Leong Jalan Beserah, jam 9 pagi hingga 5 petang, pada 9 Jun 2014.
Berdasarkan pertuduhan ketiga pula, Teik Keng didakwa melakukan perbuatan sama dan mendorong mangsa berumur 37 tahun memasukkan wang RM48,000 ke dalam akuan miliknya, di Lorong Kubang Buaya, di sini, pada jam 5 petang antara 26 Jun dan 30 Jun 2015.
Ketiga-tiga pertuduhan tersebut mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan sebatan atau denda jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ker Qi En manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,500 dengan seorang penjamin dan menetapkan sebutan kes pada 2 Julai depan.