IPOH - Belum sampai dua jam sampah haram yang dibersihkan oleh Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) di Taman Kin Mee, sudah ada sampah baharu yang diletakkan di kawasan larangan.
Itulah situasi yang dihadapi Jabatan Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Perbandaran MBI dalam menguruskan sampah haram bukan sahaja di taman perumahan tersebut bahkan di seluruh Bandar raya Ipoh.
Seorang pekerja MBI, Abdul Rahim Ahmad,60, berkata, sejak 15 tahun bekerja di jabatan tersebut, masalah sampah haram sukar dibendung kerana sikap masyarakat yang memandang ringan terhadap persekitaran bandar raya ini.
Katanya, tidak sampai sehari dibersihkan, sampah haram dilonggokkan semula di lokasi sama oleh individu yang tidak bertanggungjawab walaupun sudah diletakkan papan tanda amaran.
"Bila ada longgokkan sampah haram ini, orang kata MBI tak buat kerja sedangkan awal pagi kita bersihkan, tengah hari ada balik. Takkan kami nak tunggu 24 di kawasan itu sedangkan banyak lagi kawasan lain perlu dibersihkan.
"Kesedaran orang ramai sebenarnya penting untuk pastikan sampah haram ini tidak berulang selain masyarakat ambil berat terhadap persekitaran masing-masing," katanya kepada Sinar Harian ketika operasi pembersihan di Taman Kin Mee di sini hari ini.
Seorang lagi pekerja, Mohd Norhisham Zakaria,47, berkata, disebabkan sikap tidak bertanggungjawab itu, kawasan perumahan serta perniagaan menjadi kotor dan berbau busuk.
Katanya, pekerja MBI terpaksa bekerja pada hari Sabtu dan Ahad semata-mata untuk membersihkan sampah haram yang dilonggokkan untuk memastikan kawasan persekitaran kediaman serta bandar raya bersih.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Kesihatan Awam dan Perkhidmatan Perbandaran MBI, Mohd Alias Kamaruddin, tindakan kompaun RM1,000 antara tindakan yang dilaksanakan pihak MBI untuk mengekang masalah tersebut.
Malah katanya, Skuad Anti Litter turut ditubuhkan bagi membuat intipan terhadap individu atau syarikat yang membuang sampah haram ini.
"Kita mengalu-alukan kerjasama orang ramai untuk mengambil gambar individu dan kenderaan yang membuang sampah haram bagi tujuan tindakan kompaun. Gambar dan maklumat boleh terus WhatsApp kepada MBI di talian 019-5503083.
"Selain itu juga, kita turut mengeluarkan notis amaran kepada pemilik tanah terbiar agar memastikan kawasan mereka sentiasa dibersihkan supaya tidak berlaku ancaman kepada persekitaran selain merosakkan pemandangan," katanya.
Katanya, pihak MBI akan bekerjasama dengan agensi lain seperti Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dengan mengesan nombor pendaftaran kenderaan sebelum kompaun dikeluarkan kepada pemilik kenderaan.
Jelasnya, mana-mana kompaun tidak berbayar, tindakan mahkamah akan dikenakan ke atas mereka yang ingkar.
Beliau berkata, MBI akan mencari pelaku sampah haram sehingga ke lubang cacing untuk memastikan mereka bertanggungjawab terhadap tindakan yang dilakukan.
Menurutnya, isu sampah haram bukan sahaja membuang masa dan tenaga tetapi membazirkan peruntukan MBI yang sepatutnya digunakan untuk tujuan pembangunan warga bandar raya.