KUALA TERENGGANU – [DIKEMASKINI] Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) tidak menolak akan melaksanakan kawalan harga ayam, sekiranya masih mendapat aduan kenaikan harganya yang mendadak dan melambung tinggi.
Timbalan Menterinya, Datuk Rosol Wahid berkata pengguna diminta melaporkan jika berlaku kenaikan mendadak harga ayam dan tindakan boleh diambil di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan (AKHAP) 2011.
Beliau berkata, pihaknya meminta pengguna bekerjasama dalam menyalurkan maklumat sekiranya terdapat peniaga mengambil kesempatan menaikkan harga yang tidak munasabah, bagi memudahkan tindakan diambil.
"Sebelum ini ketika kita melaksanakan Skim Harga Maksimum Musim Perayaan (SHMMP) bermula 20 Mei hingga 3 Jun 2020, harga ayam terkawal.
"Pihak kementerian sentiasa cakna dengan isu harga barang. Jika berlaku kenaikan mendadak kita tidak menolak akan melaksanakan kawalan harga ayam di pasaran.
"Jika ada kenaikan harga yang tidak munasabah, kita akan semak kewajaran harga yang ditetapkan berdasarkan rantaian daripada pemborong hingga kepada peniaga” katanya.
Dalam perkembangan sama, katanya orang ramai disarankan menggunakan aplikasi mudah alih ‘price catcher’ bagi membuat perbandingan harga dengan lebih mudah.
"Selain itu, kedai-kedai runcit termasuk di kawasan luar bandar juga perlu letak tanda harga pada barangan yang dijual untuk elak kekeliruan,”katanya.