Bil TNB tinggi: UMNO saran beri diskaun secara pukal

Iklan
Gambar hiasan - Foto 123RF

POLEMIK caj Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah menimbulkan keresahan rakyat ekoran nilai bayaran yang dianggap terlalu tinggi daripada kebiasaan.

Namun kami yakin bahawa pihak terlibat khususnya Kementerian Tenaga dan Sumber Asli mengambil maklum berkaitan hal tersebut dan mempunyai kebijaksanaan dalam mencari solusi bagi menyelesaikan isu ini.

Iklan
Iklan

Dalam hal ini, kami juga amat menghargai tindakan Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah yang proaktif terhadap keluhan rakyat.

Idea asal pemberian diskaun mengikut jumlah penggunaan bulanan tersebut dilihat betul pada konsepnya tetapi realiti pelaksanaan mungkin kurang sesuai dalam senario jangka pendek ini.

Iklan

Ini kerana sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksana ekoran penularan Covid-19, masa rakyat sepenuhnya adalah berada di rumah yang tentunya memberi kesan langsung kepada penggunaan elektrik - termasuk dari kalangan B40 dan M40.

Tindakan rakyat yang mematuhi arahan kerajaan untuk duduk di rumah bagi menghapuskan rantaian Covid-19 menjadi punca kepada mengapa penggunaan elektrik dalam kalangan isi rumah (pengguna domestik) meningkat lebih tinggi daripada kebiasaan.

Iklan

Apabila bacaan sebenar dibuat oleh pihak TNB, jumlah bil yang dikenakan menjadi lebih tinggi daripada pengunaan biasa sebelum PKP yang mendatangkan keresahan pengguna lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi yang mencabar dan tidak menentu ini.

Shahril Sufian

Sehubungan itu, kami menyarankan pihak berwajib dapat memberikan diskaun secara pukal tanpa formula pengiraan yang rumit berdasarkan kepada bacaan bil terkini sebagai inisiatif kerajaan dalam membantu rakyat untuk jangka masa pendek.

Kami juga menyarankan supaya pihak TNB melakukan penerangan secara terus menerus berkenaan pengiraan bil elektrik pengguna supaya tidak timbul kekeliruan di kalangan mereka.

Sebarang aduan yang dibuat oleh pengguna perlu diteliti sebaik mungkin untuk mengelakkan pengguna daripada rasa tertipu dan diabaikan.

Dalam masa yang sama, kami juga mengalu-alukan bayaran pelan mudah yang dibuat oleh TNB bagi memastikan kemampuan rakyat untuk membayar bil elektrik rakyat bersesuaian dengan keadaan semasa hari ini.

Terima kasih.

*Shahril Sufian Hamdan ialah Ketua Penerangan UMNO Malaysia