BANYUMAS - Kisah seekor babi hutan yang suka minum kopi dan teh setiap pagi hangat diperkatakan oleh penduduk kampung Pekuncen, Jatilawang, Banyumas di sini.
Pemiliknya, Bawor, 55, berkata, haiwan itu juga memiliki keunikan lain iaitu memiliki jari mirip jari manusia, lapor Tribun News.
"Setiap pagi hidangannya nasi daging bersama teh manis atau kopi. Ada kala haiwan ini juga gemar pisang dan roti.
"Haiwan ini tidak mahu makan dan minum jika diberi minum air mentah. Babi hutan ini hanya makan hidangan sudah dimasak," katanya.
Sehingga kini, ribuan orang telah berkunjung ke rumah Bawor untuk melihat keunikan haiwan yang ditemuinya di hutan itu.
Kata Bawor, binatang peliharaannya itu masih kecil dengan beratnya kira-kira 12 kilogram.
Ketika ditanya adakah Bawor akan menjual babi itu, dia mengakui tidak ada niat untuk menjualnya dan akan terus menjaganya.
"Jika berat seekor babi sebanyak 12 kilogram, harga pasaran sekitar Rp 500 ribu (RM150)," katanya.