Diplomat asing tak perlu jalani kuarantin di pusat yang ditetapkan

Iklan
Wisma Putra

PUTRAJAYA - Semua diplomat asing tidak lagi perlu menjalani kuarantin 14 hari di pusat kuarantin yang ditetapkan, namun mereka dikehendaki menjalani ujian Polymerase Chain Reaction (PCR) Covid-19 di negara asal mereka.

Wisma Putra dalam satu kenyataan berkata, semua dokumen berkaitan perlu diserahkan di pintu masuk negara, sebaik sahaja mereka tiba di Malaysia.

Iklan
Iklan

Kenyataan itu dikeluarkan sebagai respons kepada satu laporan berita mengenai masalah perwakilan asing untuk kembali ke Malaysia disebabkan masalah kelulusan, kerana menurut laporan itu tiada pengecualian diberikan kepada ketua perwakilan asing, termasuk kepada duta besar Amerika Syarikat ke Malaysia, Shirin Lakhdhir.

Laporan itu turut memaklumkan bahawa permohonan Jabatan Negara Amerika Syarikat kepada Wisma Putra supaya Lakhdhir dibenarkan menjalani tempoh kuarantin di kediamannya di Jalan Langgak Golf, tidak diluluskan.

Iklan

Wisma Putra berkata, kerajaan Malaysia mewajibkan semua individu yang tiba ke negara ini memuat turun dan menggunakan aplikasi"MySejahtera” yang akan membolehkan Kementerian Kesihatan memantau keadaan kesihatan penggunanya dan mengambil tindakan segera dalam memberikan rawatan yang diperlukan.

Menurutnya segala tindakan yang diambil oleh kerajaan Malaysia dibuat berdasarkan rundingan oleh pakar dan kata sepakat oleh pelbagai agensi yang berkaitan, khusus bagi menjaga kesihatan awam dan keselamatan negara.

Iklan

"Keputusan-keputusan ini dibuat secara bersama sebagai usaha bagi mengawal penularan Covid-19 dan tidak seharusnya dilihat sebagai tindakan arbitrari atau diskriminasi, sebaliknya ditampilkan menerusi undang-undang serta peraturan yang telus dan jelas, terpakai untuk semua yang memasuki negara ini,” katanya.

"Dari segi kerjasama yang berkaitan dengan langkah-langkah membendung Covid-19, aspek berkaitan kelonggaran buat petugas diplomatik yang layak, pejabat perwakilan serta kediaman mereka, akan sentiasa dihormati, selagi ia tidak bertentangan dengan semangat Konvensyen Vienna dan Hubungan Diplomatik (VCDR) 1961,” tambahnya.

Pasal 41 (1) merujuk kepada penekanan terhadap peruntukan"tanpa mengurangi hak istimewa dan kekebalan mereka, adalah menjadi kewajiban semua yang menikmati hak istimewa dan kekebalan itu untuk menghormati undang-undang dan peraturan negara penerima".