Tiada jaminan untuk berada dalam kesebelasan utama Liverpool disifatkan antara penyebab Timo Werner tidak ke Anfield musim panas ini.
Menurut bekas legenda The Reds, Jamie Carragher, penyerang sensasi RB Leipzig sudah menghampiri ke bumi Liverpool, namun kesukaran kelab memberi jaminan perkara itu menyebabkannya beralih memilih kelab barat London, Chelsea.
"Sejujurnya saya tidak nampak kehadiran trio Mohamed Salah, Sadio Mane dan Roberto Firmino menyebabkan Werner tidak memilih untuk tidak datang ke Anfield.
"Begitu juga faktor pandemik Covid-19 yang menjejaskan aliran kewangan kelab alasan untuk tidak membeli pemain bintang seperti Werner.
"Biarpun begitu seandainya pandemik Covid-19 tidak berlaku, saya percaya Werner akan segera menyertai Liverpool tanpa sebarang halangan.
"Pada ketika itu akan berlangsung beberapa kejohanan seperti Sukan Olimpik, Piala Afrika atau Copa America yang menyebabkan kelab terpaksa melepaskan pemain utama mereka bagi mewakili negara masing-masing," katanya.
Penyerang muda Jerman itu sebelum ini menjadi perhatian beberapa kelab EPL, namun RB Leipzig menuntut klausa pelepasan bernilai 53 juta pound (RM285.61 juta).
Tambah Carragher, bekas pemain VfB Stutgart berusia 24 tahun itu memilih kelab kendalian Frank Lampard selepas mendapat jaminan minit perlawanan bersama The Blues.
"Werner sukar mendapat minit perlawanan yang dikehendaki seandainya memilih Liverpool kerana Jurgen Klopp sudah memiliki Salah, Mane dan Firmino.
"Inilah realiti yang perlu Werner hadapi sekiranya menyertai Liverpool kerana kelab sudah memiliki trio depan paling ampuh.
"Begitu pun pada saya Liverpool perlu melihat pelbagai aspek sekiranya masih bertekad merekrut Werner pada saat akhir dengan nilai 53 juta pound, namun tidak menjadi pilihan kesebelasan utama kelab," katanya.