BINTANG ‘buangan’ Barcelona, Philippe Coutinho sanggup dikenakan pemotongan gaji untuk kembali menyarung jersi Liverpool pada musim panas nanti.
Selepas gagal mendapat tempat di Camp Nou, pemain tengah berusia 28 tahun itu telah dipinjamkan ke kelab gergasi Bundesliga, Bayern Munich pada awal musim ini.
Iklan
Iklan
Begitupun, Bayern sudah menyatakan hasrat mereka untuk tidak lagi menyambung kontrak Coutinho secara pinjaman tatkala Barcelona membuat keputusan melepaskan tonggak skuad kebangsaan Brazil itu.
"Aksi Liga Perdana Inggeris (EPL) adalah sesuatu yang membuatkan dia (Coutinho) gembira untuk bermain. Dia lebih gemar beraksi dalam liga tersebut dan besar kemungkinan dia akan kembali ke EPL,” kata ejen Coutinho, Kia Joorabchian.
Coutinho dilaporkan menerima gaji sekitar 225,000 pound (RM1.2 juta) seminggu di Barcelona.
Namun, kelab Catalan itu masih berhutang dengan Liverpool daripada sebahagian jumlah perjanjian tambahan 146 juta pound (RM781.06 juta) yang membawa Coutinho ke Camp Nou pada Januari 2018.
Liverpool pula berkemungkinan akan melakukan rombakan dalam struktur gaji jika Coutinho sah kembali ke Anfield dengan penyerang berbisa The Reds, Mohamed Salah menjadi pemain yang menerima gaji paling tinggi iaitu 200,000 pound (RM1.07 juta) seminggu.