Masjid Kariah Desa Anggerik hadkan 50 jemaah solat Jumaat

Iklan
Pengurusan Masjid Kariah Desa Anggerik (MKDA) Juasseh bergotong-royong membuat persiapan untuk melaksanakan solat Jumaat buat kali pertama pada Jumaat ini sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula 18 Mac lalu.

KUALA PILAH - Pengurusan Masjid Kariah Desa Anggerik (MKDA) Juasseh di sini hanya membenarkan 50 jemaah menunaikan solat Jumaat bermula Jumaat ini walaupun Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) membenarkan bilangan jemaah mengikut kapasiti masjid.

Pengerusi kariahnya, Mohd Rusli Ibrahim berkata, pihak pengurusan mengambil langkah selamat dengan mengutamakan penjarakan sosial satu meter.

Iklan
Iklan

Katanya, sistem nombor akan dilaksanakan bagi memudahkan pihak pengurusan mengenal pasti bilangan jemaah yang memasuki pekarangan masjid untuk bersolat.

"Kita akan memastikan prosedur operasi standard (SOP) dipatuhi dan mengambil suhu badan serta mengisi slip pendaftaran," katanya selepas selesai program gotong-royong persiapan solat Jumaat di sini semalam.

Iklan

Menurutnya, hanya jemaah warga Malaysia berusia 15 hingga 60 tahun dibenarkan, manakala mereka yang melebihi 60 tahun tidak digalakkan.

"Kami memohon maaf kepada ahli kariah yang tidak mendapat kebenaran masuk untuk solat Jumaat dan mereka bolehlah menggantikannya dengan solat Zuhur di rumah masing-masing," katanya.

Iklan

Dalam pada itu, Mohd Rusli berkata, pihaknya akan sentiasa peka berhubung arahan JHEAINS atau Pejabat Agama Islam Daerah (PAID) jika terdapat sebarang pindaan berkaitan SOP atau pengurangan bilangan jemaah.

Terdahulu, Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS), Mohd Zaidi Ramli dalam satu kenyataanya berkata, pelaksanaan solat Jumaat di seluruh masjid di Negeri Sembilan mengikut kapasiti masjid bermula 19 Jun ini.