YWP guna sistem agihan kupon mulai tahun depan   

Iklan
Khalid Abdul Samad

KUALA LUMPUR - Kaedah pemberian kupon akan digunakan untuk Program Kembali ke Sekolah oleh Yayasan Wilayah Persekutuan (YWP) mulai tahun depan susulan dua kes penerima mendapat saiz pakaian yang tidak logik.

Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad, berkata, sehingga kini hanya satu aduan yang diterima berkaitan kes tersebut dan YWP telah diarahkan untuk menjalankan siasatan segera.

Iklan
Iklan

"Setakat ini terdapat satu aduan yang diterima berkaitan saiz kasut dan seluar. Saya sudah mengarahkan Ketua Pegawai Eksekutif YWP untuk membuat siasatan dan memberikan laporan kepada saya.

"Mulai tahun depan, sistem kupon akan digunakan untuk semua penerima. Tiada lagi dalam bentuk kasut dan baju serta seluar sekolah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Kenyataan itu dimuat naik menerusi Facebook rasmi beliau susulan dakwaan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng semalam yang menyifatkan Program Kembali ke Sekolah inisiatif YWP gagal apabila berlaku penangguhan penyerahan, jumlah barangan yang tidak cukup dan tidak tepat.

Malah terdapat agihan bantuan pakaian yang dibuat tidak menepati saiz penerima melibatkan kes pelajar di sekolah rendah jenis Cina di ibu negara yang menerima seluar panjang dengan saiz pinggang 38 inci dan kasut bersaiz bayi.

Iklan

Mengulas lanjut, Khalid yang juga Pengerusi YWP memberi jaminan akan memberi perhatian dan mengambil tindakan berkaitan isu berkenaan tanpa sebarang kompromi.

"Dalam menghadapi keadaan sebegini saya tidak seperti mantan Perdana Menteri. Alasan seperti 'bukan salah individu tetapi sistemik' atau 'sumbangan dari Putra Arab' tiada tempat dalam Kementerian kerajaan kini.

"No Cover Up! Sebaliknya siapa yang didapati bersalah akan diambil tindakan sewajarnya. Apa jua agenda terselindung, kalau ada, akan terbongkar," katanya.

Bagi tahun ini YWP memberi sumbangan kepada 20,000 pelajar di seluruh Wilayah Persekutuan termasuk Putrajaya dan Labuan.

Seramai 3,250 pelajar mendapat sumbangan dalam bentuk beg dan baucar bernilai RM100 setiap seorang. Baki yang lain mendapatnya dalam bentuk beg dan pakaian sekolah.