PUTRAJAYA - Pejabat Perdana Menteri menafikan laporan Sarawak Report bahawa Tan Sri Muhyiddin Yassin telah melanggar perintah kuarantin di rumah untuk ke luar negara bagi menjalani rawatan kanser.
Sambil menyifatkan ia sebagai pembohongan dan tuduhan berniat jahat, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya mencabar supaya penulis dan portal itu bertanggungjawab terhadap laporan tersebut.
"Kemukakan bukti termasuk menamakan pesawat dinaiki, hospital di Singapura dan doktor yang merawat seperti didakwa," katanya.
Menurut kenyataan itu, kegagalan mengemukakan bukti bermaksud laporan yang disiarkan portal berkenaan berniat jahat untuk memburukkan imej Muhyiddin.
"Amat malang apabila portal berita menjadi perkakas politik bagi menjaja dan menyebarkan fitnah tidak berpaksikan kebenaran," kata kenyataan itu.
Kenyataan itu berkata, semasa tempoh kuarantin, Muhyiddin menjalani tugas rasminya dari rumah termasuk sidang video bersama Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.
Mengenai tahap kesihatan Muhyiddin, beberapa pakar mengesahkan pemimpin itu bebas kanser dan cukup sihat untuk menjalankan tugas sebagai Perdana Menteri.
Sebelum ini, Muhyiddin menjalani perintah kuarantin di rumah selama 14 hari berikutan salah seorang pegawai kanan kerajaan yang menghadiri mesyuarat bersamanya disahkan positif koronavirus (Covid-19).