KUALA TERENGGANU - Kelonggaran yang diberi ketika Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) adalah masa yang tepat untuk bercuti dengan peluang merasai pakej pelancongan bertaraf ‘kayangan’ pada harga murah.
Bukan itu sahaja, pelancong juga berpeluang mendapat pelepasan cukai pendapatan individu sehingga RM1,000 ke atas perbelanjaan melancong dalam negara sehingga 31 Disember 2021.
Rata-Rata pelancong yang berkunjung ke Terengganu berkata, inisiatif kerajaan dan kesediaan pemain industri memberi diskaun luar biasa itu mampu merancakkan kembali sektor pelancongan setelah negara terkesan dengan Covid-19.
Jamaliah Abd Rahman, 43, dari Selangor berkata, beliau berkunjung ke Terengganu bersama tiga rakannya bermula 12 Jun lalu dan membayar dua bilik hotel pada kadar yang hampir sama dengan sebuah bilik sebelum ini.
"Bayangkan kalau dulu kena bayar satu bilik pada harga lebih RM190 dua hari satu malam, sekarang hanya RM95 sebilik bagi tempoh yang sama. Jika keadaan sebegini berterusan, negeri-negeri lain juga akan saya kunjungi.
"Ada juga rakan saya menginap di resort terkenal di sebuah pulau di sini, yang dahulunya berharga lebih RM1,700 semalaman kini boleh dapat diskaun sehingga 40 peratus. Bukan itu sahaja... pakej itu juga termasuk makan dan minum serta aktiviti lain,” katanya yang ditemui Bernama di sini baru-baru ini.
Sementara itu, para pengusaha hotel juga boleh menarik nafas lega dengan memanfaatkan sepenuhnya Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).
Pemilik Terrapuri Heritage Village, Alex Lee Yun Ping berkata, keprihatinan kerajaan membantu usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam sektor pelancongan sudah tentu akan menyelamatkan perniagaan mereka yang terjejas teruk.
Pelepasan cukai pendapatan individu adalah perancangan yang sangat baik dan bagi menggerakkan semula industri, semua pihak termasuk Jabatan Pelancongan serta kerajaan negeri perlu memainkan peranan.
Meskipun begitu, Alex berkata, pengusaha hotel bertaraf empat dan tiga bintang tidak boleh terlalu ekstrim dalam memberi diskaun bagi mengelak merosakkan industri serta menyebabkan hotel bajet tertekan dan gagal beroperasi.
"Bayangkan bagaimana keadaan hotel bajet jika hotel ternama tetapkan harga hanya RM80 untuk semalam. Adakah hotel bajet perlu tetapkan RM40 sahaja sedangkan ia tidak akan cukup untuk membayar kos pekerja serta operasi.
"Saya berharap bantuan menerusi PENJANA akan dapat dimanfaatkan sepenuhnya. Ramai pengusaha yang sedang hadapi kesukaran,” katanya.
Bagi membantu sektor pelancongan, pembiayaan bernilai RM1 bilion akan disediakan untuk membiayai inisiatif transformasi oleh PKS agar terus berdaya maju dan berdaya saing dalam era normal baharu.
Terrapuri Heritage Village, yang menyajikan penginapan dalam suasana kampung seperti zaman silam, turut tidak terkecuali memberikan pakej murah kepada pengunjung dan menurut Alex, pakej yang biasanya RM1,200 semalam kini hanya bermula pada kadar RM690 semalam.
Pengurus Besar Primula Beach Hotel, Suaibah Harun pula berkata, kemudahan pembiayaan menerusi Penjana sememangnya meringankan beban pengusaha terutama dengan adanya pengecualian cukai perkhidmatan untuk hotel.
"Keadaan itu mengurangkan beban majikan untuk membayar cukai serta membolehkan kelangsungan perniagaan. Galakkan orang tempatan supaya melancong dalam negara juga mampu menambah pendapatan pengusaha.
‘Paling penting ketika ini ialah supaya bisnes dapat bertahan dan menampung sedikit sebanyak gaji pekerja,” katanya ketika dihubungi Bernama.- Bernama