MOA kongsi teknik pertanian kepada bukan petani

Iklan
Che Abdullah turut menunjukkan kebolehan membuat teknik cantuman tanaman mangga.

TUMPAT - Kementerian Pertanian dan Industri Makanan memperluaskan teknik cantuman tanaman mangga dan belahan jambul nanas terbaik kepada kumpulan bukan petani.

Timbalan Menteri II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, inisiatif yang dilakukan kementerian itu adalah untuk menggalakkan komuniti setempat dan golongan profesional turut serta bertani.

Iklan
Iklan

Menurutnya, selain memberi tumpuan khas menerusi pemberian geran kepada kumpulan pengusaha yang membuat penanaman berskala besar, kementerian juga turut memberi galakan dan perkongsian ilmu untuk bukan petani.

"Dengan bantuan Jabatan Pertanian Kelantan dan Lembaga Perindustrian Nanas Negeri Kelantan hari ini orang ramai dan beberapa kakitangan awam diberikan pendedahan mengenai kaedah cantuman tanaman mangga dan belahan tunas nanas.

Iklan

"Perkongsian teknik menghasilkan benih tanaman terbaik secara santai ini, saya lihat sangat berkesan kerana terdapat ilmu yang meskipun dilihat remeh tetapi sebenarnya menjadi faktor kepada tidak berkembangnya sektor pertanian,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Che Abdullah (tiga dari kanan) melihat Rusli menanam pokok nanas di dalam pasu yang disediakan.

Terdahulu beliau merasmikan Kursus dan Hands on Cantuman Tanaman Mangga serta Belahan Jambul Nanas di Abe Residence di Tumpat.

Iklan

Hadir sama, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Wakaf Bharu, Rusli Abdullah dan Penolong Ehwal Ekonomi Lembaga Perindustrian Lembaga Nanas Negeri Kelantan, Firdaus Ibrahim.

Taklimat cantuman tanaman mangga dikendalikan Penolong Pegawai Pertanian Bahagian Industri Tanaman Jabatan Pertanian Kelantan, Mansor Ab Latif@Setra dan untuk belahan jambul nanas dikendalikan Ketua Pengarah Bahagian Pembangunan Industri Tanaman Jabatan Pertanian negeri, Azuan Abdullah.

Sementara itu, seorang peserta juga pekerja swasta, Abdul Azid Mamat berkata, tidak rugi dia menyertai kursus yang diadakan MOA itu.

Katanya, walaupun tanaman mangga dan nanas nampak mudah, namun ia agak rumit dan banyak teknik yang perlu diguna pakai untuk menghasilkan tanaman yang baik.

"Macam tanaman nanas, sebelum ini saya tidak tahu asas semaian yang memerlukan ia ditanam condong 45 darjah bagi mengelak daripada rosak.

"Sama juga dengan teknik semaian benih yang saya tahu, nanas disemai bersama dengan akar namun teknik sebetulnya potong bahagian bawah jambul sehingga menampakkan tunas sebelum semai,” katanya.

Sementara itu, seorang lagi peserta, Kamarulzaman Mat Nawi, 66, berkata, teknik semaian nanas yang diajar sangat bermanfaat kerana harga benih tersebut semakin mahal.

"Berdasarkan apa yang diajar ini, saya boleh menyemai benih dengan sendiri dan menjimatkan,” katanya.