Terengganu benar beroperasi ikut waktu lesen perniagaan

Iklan
Dr Alias Razak

KUALA TERENGGANU - Waktu operasi premis perniagaan di Terengganu sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) dibenarkan mengikut kelulusan pada lesen perniagaan masing-masing.

Exco Kerajaan Tempatan, Perumahan, Kesihatan dan Alam Sekitar Terengganu, Dr Alias Razak berkata, kebenaran itu bermula 10 Jun lalu selepas negara ini memasuki fasa PKPP sebagaimana diumumkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Iklan
Iklan

Sehubungan itu, menurutnya, peniaga boleh menjalankan perniagaan seperti biasa sebagaimana sebelum Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula namun harus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Waktu operasi premis perniagaan sekarang kembali semula kepada kebenaran lesen diluluskan pihak berkuasa tempatan (PBT) sama ada sehingga jam 12 malam, 10 malam atau 6 petang kerana ia berbeza bergantung kepada jenis perniagaan masing-masing," katanya hari ini.

Iklan

Bagi rumah ibadat bukan Islam pula, Dr Alias berkata, kerajaan turut membenarkan ia dibuka semula kepada orang ramai namun mereka yang ingin berkunjung harus mematuhi SOP ditetapkan.

"Antara SOP itu adalah tidak berkongsi peralatan ibadah dengan orang lain, macam orang Islam mereka kena bawa sejadah sendiri dan mengambil air sembahyang di rumah," katanya.

Iklan

Sementara itu, Dr Alias memaklumkan beliau berpuas hati dengan kadar kepatuhan rakyat Terengganu pada PKP yang mencapai kadar 98 peratus, namun kecewa apabila ia menurun kepada 90 peratus selepas masuk ke fasa PKPP.

Atas dasar itu katanya, pasukan penguatkuasa akan terus membuat pemantauan bagi memastikan SOP ketika berada di tempat awam dan premis perniagaan dipatuhi supaya tiada jangkitan koronavirus (Covid-19) baharu direkodkan.

"Rakyat boleh keluar, tapi kita kena jaga kita, jaga keselamatan dan kesihatan kita. Kalau kita mahu selamat jagalah SOP kerana kerajaan hanya beri garis panduan, tapi untuk elak jangkitan kita kena patuh.

"Orang kita bila tiada penguatkuasa yang memaksa dia rasa selesa dan buat apa yang dia suka sedangkan apa yang dia suka itu membahayakan diri dia," katanya.