SHAH ALAM - Gagasan Tiga (G3) menuntut agar kerajaan mewujudkan semula sekolah Melayu bagi membolehkan pelajar-pelajar Melayu mendapat keadilan yang sewajarnya dalam aspek pendidikan negara berbanding kelebihan yang diperolehi oleh sekolah-sekolah Cina dan India di bawah pentadbiran Kerajaan PH.
Timbalan Pengerusi G3, Amran Ahmad Nor berkata, tuntutan ini dibuat sejajar dengan perkembangan semasa kerana kerajaan PH bukan sahaja takut untuk menutup sekolah jenis kebangsaan Cina (SJKC) dan sekolah jenis kebangsaan Tamil (SJKT), sebaliknya memberi lebih banyak peruntukan kepada mereka.
Jelas beliau, perkara itu belum termasuk lagi dengan 'nikmat' terbaru yang diumumkan oleh kerajaan kepada sekolah persendirian Cina dan kolej swasta berteraskan bangsa itu.
"Tuntutan ini bagi membolehkan pelajar Melayu mendapat keadilan yang sewajarnya dalam aspek pendidikan negara kerana, sejak berlakunya pertukaran kerajaan pada 10 Mei yang lalu, sekolah kebangsaan yang rata-ratanya dihadiri pelajar Melayu dan sebahagian kecil pelajar Cina, India dan kaum lain telah 'dianak-tirikan' oleh kerajaan PH," katanya menerusi satu kenyataan di sini semalam.
Amran berkata, walaupun sekolah kebangsaan mendapat RM250 juta yang anggarkan berjumlah 9,000 buah sekolah berbanding RM50 juta yang dinikmati oleh SJKC iaitu 1,298 buah sekolah dan SJKT sebanyak 532 buah sekolah namun bilangan sekolah antara ketiga-tiga jenis sekolah ini adalah jauh berbeza.
"Ini bermakna setiap sekolah kebangsaan yang rata-ratanya pelajar Melayu hanya mendapat sekitar RM27,778 bagi setiap sekolah tetapi SJKC mendapat RM38,521 bagi setiap sekolah dan SJKT mendapat RM93,985 bagi setiap sekolah.
"Ini belum termasuk sekolah persendirian Cina yang mendapat RM12 juta walaupun hanya memiliki 60 buah sekolah sahaja dengan setiap sekolah mendapat sekitar RM200,000," jelas beliau.
Ujarnya, walaupun ada pelajar bukan Cina di SJKC dan SJKT tetapi jumlah tersebut sangat kecil jika dibandingkan dengan populasi masyarakat Melayu di negara ini dan jumlah pelajar Melayu yang ada di SJKC atau SJKT.
"Lebih dari itu, kerajaan PH telah memberi jaminan untuk tetap mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC), justeru, pelaksanaan sekolah mengikut kaum ini akan memberi keadilan buat pelajar berbangsa Cina yang kini belajar di sekolah kebangsaan," katanya.
Tambah beliau, dengan pendekatan kerajaan PH yang terus mengangkat darjat dan memberikan peruntukan tamabahan kepada SJKC dan SJKT maka usaha untuk memupuk perpaduan di peringkat sekolah tidak akan berlaku.
"Jangan berbicara mengenai soal perpaduan di sekolah jika kerajaan hari ini yang dikuasai oleh DAP mahu 'membalas budi' para pengundinya dengan cara memberi lebih banyak peruntukan pendidikan kepada masyarakat Cina, India tetapi 'menganak-tirikan' anak-anak Melayu," katanya.
Dalam pada itu, G3 juga turut sedih melihatkan perilaku parti-parti komponen dalam PH yang seolah-olah 'terkedu' dan hanya mampu angguk kepala melihatkan corak peruntukan sedemikian, seperti mana yang diumumkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng pada pembentangan belanjawan yang lalu.
Selain itu, Amran mencadangkan supaya kerajaan mewajibkan pengajaran dan kelulusan dalam subjek Jawi di sekolah-sekolah Melayu kerana ianya membawa lambang dan identiti masyarakat Melayu di negara ini.
"Ia sangat penting dan menjadi satu keperluan kerana tulisan Jawi semakin hilang penggunaannya di negara ini setelah tidak ramai masyarakat yang mampu membacanya, apatah lagi mahu menulis menggunakannya," katanya.