Taraf pendidikan institusi pondok akan dipertingkat

Iklan
Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.
- Foto Bernama

KUALA LUMPUR - Taraf pendidikan institusi pengajian pondok akan dipertingkat secara holistik untuk menjadi antara institusi pengajian tinggi yang berjaya melahirkan lulusan hebat, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata, ini bagi membolehkan lepasan institusi pengajian pondok juga memiliki kelulusan peringkat tinggi yang diiktiraf Agensi Kelayakan Malaysia, sekali gus berpotensi memiliki masa depan pekerjaan yang lebih cerah.

Iklan
Iklan

"Taraf pendidikan serta pembangunan institusi pendidikan, khususnya yang seimbang, penting untuk diperkasa bagi mendepani banyak isu-isu lain.

"Kerana itu pada hari ini kita mengorak langkah memeterai memorandum persefahaman (MoU) pelaksanaan Diploma Syariah Islamiyyah Pondok Moden (DSI) Al-'Abaqirah di antara MAIWP (Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan) dan Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL)," katanya.

Iklan

Zulkifli berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan pemeteraian MoU itu serta penyerahan MoU wakaf Sistem Pendidikan Integrasi dan Holistik (IHES) oleh ADNI Endowment Development Berhad kepada MAIWP di Bangunan Perkim di sini hari ini.

Mou DSI Al-'Abaqirah ditandatangani Rektor KPLB Datuk Dr Noor Inayah Yaakub dan Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP Datuk Akhbar Samon.

Iklan

Turut diadakan majlis tandatangan MoU wakaf IHES di antara ADNI Endowment Development Berhad yang disempurnakan Pengerusi Eksekutifnya, Profesor Datuk Dr Hasni Mohamed dan MAIWP yang diwakili Akhbar.

Mengulas lanjut, Zulkifli berkata, dengan adanya Mou itu, pelajar pondok berpeluang melanjutkan pengajian peringkat diploma selama dua tahun setengah di KPBKL dengan kos lebih rendah.

"Kos pengajian hanya RM1,800 berbanding kadar yuran biasa sebanyak RM18,000 keseluruhan pengajian meliputi empat kurikulum utama.

"Ia mengikut Kurikulum Standard Sekolah Menengah berasaskan turath (kitab terjemahan) Arabi, Jawi, dan Hafazan al-Quran dalam melahirkan cendekiawan Islam yang mahir ilmu agama dan duniawi," katanya.

Zulkifli yang mencetuskan idea penubuhan pondok moden semasa menjawat jawatan Mufti Wilayah Persekutuan sebelum ini berkata, dengan penggunaan IHES selepas ini, sistem pendidikan di pondok itu lebih bersepadu.- Bernama