Hadiahkan penyokong Napoli kejuaraan Scudetto

Iklan
Mertens muncul penjaring terbanyak sepanjang zaman Napoli mendapat pujian Maradona.
Kejayaan Dries Mertens meletakkan dirinya sebagai penjaring terbanyak sepanjang zaman kelab Serie A, Napoli mendapat pujian legenda kelab berkenaan Diego Maradona.

Menurut Maradona pencapaian diperoleh pemain Belgium berkenaan adalah sesuatu yang amat membanggakan kepada kelab berkenaan.

"Saya bangga dengan pencapaian Mertens kerana mampu memecahkan rekod saya sekali gus menjadikan Napoli sebuah kelab berprestasi konsisten pada setiap perlawanan.

"Secara peribadi saya mahu semua pemain Napoli sekarang berusaha keras menjadikan kelab ini kembali digeruni sama seperti dulu.

"Hadiahkan kembali penyokong setia Napoli dengan kejuaraan Scudetto yang sudah lama tidak dimenangi,” katanya.

Jaringan ke-122 Mertens ketika membantu Napoli mengikat Inter Milan 1-1 pada aksi Piala Itali di San Paolo membolehkan pemain berusia 33 tahun itu memintas rekod 121 gol milik Marek Hamsik sekali gus menobatkannya sebagai penjaring terbanyak dalam sejarah Il Partenopei.

Maradona sebelum ini sempat menyandang status itu di San Paolo selama hampir tiga dekad dengan jumlah 115 gol sebelum dipecahkan Hamsik pada 2017.

Tambah Maradona sebelum ini Mertens begitu teruja untuk memberikan bekas bintang Argentina itu jersi miliknya.

"Beberapa bulan lalu, Mertens ada menyatakan hasrat memberikan saya jersi miliknya sebagai penghargaan kepada pemain idolanya.

"Saya berterima kasih kepadanya dan memberitahunya bahawa saya percaya dia mampu mengatasi rekod Marek Hamsik untuk menjadi penjaring gol terbanyak dalam sejarah Napoli,” kata Maradona.

Pesan Maradona itu disambut positif bekas pemain PSV Eindhoven itu yang berterima kasih kepada legenda Argentina berkenaan.

"Terima kasih atas kata-kata semangat anda!,”kata Mertens.