PenjanaKerjaya: 52 majikan berdaftar, 417 pekerjaan ditawar

Iklan
Mohammed Azman Aziz Mohammed

SHAH ALAM - Sebanyak 52 majikan berdaftar bagi Program Insentif Pengambilan Pekerja, PenjanaKerjaya, di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) yang dikendalikan oleh Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) sejak ia bermula semalam.

Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed berkata, daripada jumlah pendaftaran majikan itu, sebanyak 417 pekerjaan ditawarkan oleh mereka dan berharap lebih banyak lagi syarikat yang memerlukan pekerja segera berdaftar untuk program berkenaan.

Iklan
Iklan

"Selain pendaftaran majikan yang dilihat menggalakkan, Perkeso juga menerima 1,288 panggilan daripada majikan dan pekerja bertanyakan mengenai inisiatif disediakan oleh kerajaan di bawah Penjana,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau ditemui pada majlis ringkas penyampaian faedah Skim Keilatan Perkeso kepada waris pesakit Covid-19 yang meninggal dunia di Doha, Qatar baru-baru ini oleh Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri M Saravanan.

Iklan

Tambah Mohammed Azman, melalui Penjana juga, Perkeso akan menyalurkan bantuan mobiliti kepada para pekerja yang perlu bergerak ke tempat lain bagi tujuan bekerja.

"Bantuan sebanyak RM600 ini akan diberi secara sekali bayar melalui majikan untuk pekerja yang berpindah melebihi 100 kilometer (satu hala) dari lokasi tempat pemastautin pencari kerja.

Iklan

"Bagi perpindahan melibatkan antara wilayah iaitu dari Sabah ke Sarawak atau ke Semenanjung atau sebaliknya, mereka layak menerima bantuan sebanyak RM1,000,” katanya.

Katanya lagi, Perkeso akan terus membantu individu yang mencari pekerjaan tidak kira mereka adalah penganggur, pekerja yang hilang pekerjaan akibat wabak Covid-19 ataupun graduan yang baru tamat pengajian.

Beliau berkata, Perkeso mempunyai 256 kaunselor pekerjaan di seluruh negara dan akan membantu individu pencari pekerjaan tidak kira mereka adalah pencarum pertubuhan itu ataupun tidak. - Bernama