KOTA BHARU - Parti yang terlibat dalam pembentukan Perikatan Nasional perlu berkorban dalam usaha memastikan kestabilan kerjasama gabungan yang membentuk kerajaan Persekutuan.
Setiausaha Pas Kelantan, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, semua pihak perlu bermuafakat kerana sebarang penyatuan memerlukan pengorbanan daripada setiap parti.
Menurutnya, setiap parti perlu memberi dan menerima dalam usaha untuk mendapatkan sesuatu yang lebih baik seperti kestabilan kerajaan dan kesejahteraan rakyat.
"Macam kita kahwin, sebelum ini kita biasa duduk seorang sebilik, apabila berkahwin orang lain akan kongsi bilik kita. Katil kita biasa tidur seorang, bila berkahwin akan ada orang lain tidur atas katil kita," katanya ketika ditemui Sinar Harian hari ini.
ARTIKEL BERKAITAN: UMNO bukan parti talian hayat
Beliau yang juga Ahli Parlimen Tumpat berkata, ketika ini rakyat mahu melihat kestabilan politik negara dan pemimpin politik perlu bersama-sama memperkuatkan kerajaan yang ada.
"Apa yang saya nampak, rakyat mahu pertahankan kerajaan hari ini dan untuk itu, pemimpin politik baik pembangkang mahu pun kerajaan perlu bekerjasama untuk kestabilan politik.
"Rakyat pun mahukan begitu (kerajaan Perikatan Nasional kekal) kerana mengikut respons di media sosial, netizen bertindak menyerang setiap usaha yang dilakukan untuk melemahkan kerajaan.
"Jadi saya harap pemimpin dapat menghormati perasaan rakyat apatah lagi hari ini dunia sedang berdepan dengan pandemik koronavirus (Covid-19). Tumpuan kerajaan banyak ke arah melawan merebaknya Covid-19," katanya.
Beliau berkata demikian ketika mengulas kenyataan anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Wan Saiful Wan Jan yang berpendapat Perikatan Nasional berpotensi menjadi lebih stabil berbanding Pakatan Harapan (PH) dan lebih baik daripada Barisan Nasional (BN).
Menurut Wan Saiful, untuk mencapai kestabilan itu, UMNO perlu banyak berkorban dan tidak lagi boleh mendominasi gabungan itu seperti yang mereka lakukan dalam BN.
Langkah berkenaan katanya, akan membolehkan Perikatan Nasional dibentuk dengan lebih baik berbanding gabungan politik yang ada sebelum ini.