SITIAWAN - Kira-kira 20 ikan sangkar dilaporkan mati akibat kehadiran spesies plankton atau dikenali sebagai ledakan alga Cochlodinium yang di tinggi di kawasan Kuala Gula di Kuala Kurau, Bagan Serai semalam.
Pengarah Jabatan Perikanan Perak, Zaki Mokri berkata, pihaknya turut mengesan penularan ledakan alga itu di perairan Bagan Panchor, Pantai Remis di Manjung kerana pergerakan arus.
"Arus itu bergerak dari Kuala Kurau hingga ke selatan iaitu perairan Bagan Panchor, semalam dan kemudian bergerak semula ke utara.
"Keadaan itu menyebabkan berlaku kematian kira-kira 20 ikan sangkar di Kuala Gula, tetapi tiada sebarang kematian ikan dilaporkan di Bagan Panchor,” katanya ketika meninjau kerja penandaan 11 lot kebun kerang di Jeti Perikanan di Parit Haji Dolah, Kampung Sungai Tiram, Lekir di sini hari ini.
Menurutnya, penternak disarankan untuk memasang sistem pengudaraan bagi meningkatkan kadar oksigen dalam penternakan sangkar ikan.
"Ledakan alga menyebabkan ikan sukar bernafas menyebabkan ia berenang di permukaan dan seterusnya mati.
"Penternak juga disarankan untuk mengurangkan kepadatan ikan dalam setiap petak sangkar atau menjualnya,” katanya.
Cochlodinium adalah spesies plakton yang bertoksik terhadap spesies ikan dan kerang-kerangan, namun tidak memberi kesan kepada manusia.
Pada 4 Jun lalu, Sinar Harian melaporkan tular di media sosial mengenai ikan laut yang mati di beberapa kawasan di perairan Pulau Pinang.
Kerajaan Perak juga akan mendapatkan laporan lengkap berhubung punca kematian ikan sangkar di kawasan Kuala Kurau, Kuala Gula dan Tanjung Piandang yang dilaporkan beberapa minggu lalu.