IPOH - Kerajaan Perak sentiasa terbuka dalam memberi apa jua bantuan menerusi exco Hal Ehwal Bukan Islam.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, pihak kuil tidak terkecuali menerima sumbangan dalam bajet negeri tahun ini.
Terdahulu, beliau mengumumkan sumbangan berjumlah RM50,000 kepada Kuil Arulmigu Subramania, Gunung Cheroh di sini, hari ini sempena sambutan Hari Thaipusam.
"Kita sentiasa beri bantuan dan sumbangan kepada pelbagai kuil melalui Hal Ehwal Bukan Islam.
"Peruntukan terbabit adalah terbesar saya umumkan dalam belanjawan tahun ini. Masa akan datang, pihak kuil akan bekerjasama dengan kerajaan negeri," katanya.
Hadir sama, Menteri Sumber Manusia, M Kulasegaran, Menteri Air, Tanah dan Sumber Asli, Dr A Xavier Jayakumar serta Exco Kerajaan negeri, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Tan Kar Hing.
Pada masa sama, Ahmad Faizal turut mengajak rakyat yang tidak merokok bersama menyertai kempen Berhenti Merokok.
"Kempen ini dilaksanakan berterusan kerana merokok adalah usaha sia-sia yang membahayakan kesihatan sekali gus menggalakkan rakyat agar sentiasa sihat.
"Kita harap kepada mereka yang tidak merokok, dapat mengambil bahagian berkempen bersama kerajaan negeri menggalakkan ahlj keluarga dan masyarakat berhenti merokok," katanya.