BALING - Seorang lelaki ditahan ketika cuba melarikan sebuah kereta jenis Proton Satria dalam kejadian di hadapan sebuah pasar raya di Kuala Ketil petang tadi.
Ketua Polis Daerah Baling, Superintendan Syed Basri Syed Ali berkata, dalam kejadian jam 3 petang, pemilik kereta tersebut keluar dari kenderaannya sebentar sementara dua anak perempuannya yang berusia 14 dan 12 tahun berada dalam kenderaan.
Menurutnya, secara tiba-tiba, suspek masuk dan cuba melarikan kenderaan terbabit.
"Anak-anak mangsa sempat keluar dari kenderaan dan menjerit meminta bantuan sebelum suspek memecut laju menuju ke arah Kupang.
"Anggota polis yang menerima laporan berjaya mengesan dan mengejar suspek sebelum memintanya memberhentikan kenderaan.
"Bagaimanapun, arahan itu tidak diendahkan sehingga suspek melanggar lampu isyarat merah menuju ke arah Kampung Tanjung Merbau.
"Tidak lama kemudian, suspek memberhentikan kenderaan dan cuba melarikan diri," katanya.
Menurutnya, berlaku pergelutan, namun suspek berusia 38 tahun itu berjaya ditahan.
Hasil siasatan mendapati, suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dadah, mendatangkan kecederaan dan kes curi.