Kemampuan Muafakat Nasional sudah terbukti

Iklan
Shahrir Abdul Samad

SHAH ALAM - Kemampuan Muafakat Nasional yang dianggotai oleh UMNO dan Pas untuk mendapatkan keyakinan rakyat Malaysia sudah terbukti berbanding Pakatan Harapan (PH) dan parti lain dalam Perikatan Nasional (PN).

Pemimpin UMNO, Tan Sri Shahrir Abdul Samad berpandangan, bahawa tidak mudah bagi PN untuk menidakkan kemampuan gabungan itu walaupun menerusi satu pakatan baharu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Iklan
Iklan

Menurut bekas Ahli Parlimen Johor Bahru itu, kemantapan persefahaman Muafakat Nasional terbukti pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai walaupun calon Barisan Nasional (BN) pada pilihan raya itu datangnya dari MCA.

"Secara jelas, kempen dan hujah kepimpinan DAP yang bersifat rasis dan bertujuan untuk menakut-nakutkan pengundi berbangsa Cina, rata pengundi-pengundi ini menolak naratif rasis Lim Guan Eng dan konco-konconya.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Agenda putuskan Bersatu sertai Muafakat Nasional mungkin ada: MT UMNO

"Usaha Tun Dr Mahathir Mohamad dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk menakluki balik hati orang Melayu dengan menganjurkan Kongres Maruah Melayu juga gagal menutup keangkuhan PH yang telah menyakiti hati orang Melayu.

Iklan

"PH tinggal dengan hanya sokongan golongan Melayu 'cerdik pandai dan mewah' yang masih terpikat dengan impian sebuah negara yang sekular," katanya dalam satu catatan di Facebook beliau semalam.

Shahrir berkata, Muafakat Nasional kini sudah ke hadapan dengan piagamnya sudah tentunya sukar untuk diketepikan begitu sahaja.

"Mungkin adanya pemimpin-pemimpin elit UMNO dan Pas yang hanya menganggapkan kemajuan permuafakatan di antara dua buah parti orang Melayu dan Muslim itu sebagai taktik dan strategi politik.

"Tapi di peringkat akar umbi UMNO dan Pas, muafakat di antara dua parti ini suatu yang sudah lama dicita-citakan sehingga membawa suatu keselesaan sungguh luar biasa dalam kalangan masyarakat Melayu-Muslim," katanya.

Sementara itu, beliau berkata, Bersatu yang menyokong Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan serpihan daripada PKR diketuai Datuk Seri Mohamed Azmin Ali bukan sahaja tidak ada panji-panji perang, tetapi masih berkecamuk dalam asas perjuangan politik mereka.