Sistem syif di klinik kerajaan perlu kajian terperinci: MMA

Iklan
Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) gesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya mengkaji secara terperinci sistem syif baharu di semua klinik kerajaan sebelum melaksanakannya.

KUALA LUMPUR - Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) supaya mengkaji secara terperinci sistem syif baharu di semua klinik kerajaan sebelum melaksanakannya.

Presidennya, Dr N Ganabaskaran berkata, kementerian perlu terlebih dahulu menangani isu-isu berkaitan jumlah petugas dan infrastruktur tanpa mengetepikan kebajikan kesihatan serta lebih banyak melibatkan pemegang taruh.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, terdapat kekurangan dari segi jumlah doktor, jururawat dan petugas sokongan lain di kemudahan kesihatan di negara ini, termasuk klinik kerajaan.

"Satu kajian lengkap perlu dilakukan dengan penglibatan pemegang taruh sebelum melaksanakan langkah itu. Ahli farmasi, juru teknologi makmal serta pemandu ambulans juga perlu diberi perhatian selain doktor dan jururawat, memandangkan terdapat kes yang perlu dirujuk ke hospital.

Iklan

ARTIKEL BERKAITAN: Lebih 90 peratus kakitangan KKM tidak setuju sistem syif baharu

Projek rintis klinik kesihatan dua syif dilaksanakan

Iklan

KKM cadang laksana dua syif di klinik

"Sistem syif boleh dilaksanakan sekiranya kerajaan dapat mengatasi masalah jumlah petugas dan infrastruktur sokongan sewajarnya. Di bawah sistem dua syif yang baharu, jumlah petugas kesihatan yang bekerja dalam setiap syif adalah kecil disebabkan oleh kekurangan kakitangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, klinik kerajaan yang kini dibuka dari jam 8 pagi hingga 5 petang (Isnin hingga Jumaat), terlampau sesak, sehingga kekurangan petugas akan memberi tekanan kepada sistem berkenaan di klinik khususnya semasa waktu puncak.

Dr Ganabaskaran berkata, selain mempengaruhi kualiti penjagaan, sistem syif juga akan menyaksikan waktu operasi klinik dilanjutkan sehingga jam 9.30 malam.

"Dua syif bagi petugas adalah dari jam 8 pagi hingga jam 5 petang dan jam 12.30 tengah hari hingga jam 9.30 malam. Kakitangan KKM hanya dimaklumkan mengenai sistem syif itu baru-baru ini," katanya.

Beliau berkata, buat masa ini, selain perkhidmatan diagnostik dan terapeutik, petugas kesihatan di klinik itu turut terlibat dalam menyaring dan mengesan kontak untuk kes Covid-19 di samping program penjagaan tempat tinggal.

"Petugas terlatih dalam aspek-aspek ini khusus untuk memastikan rawatan yang tepat diberikan kepada rakyat. Dengan melaksanakan sistem syif agak mustahil untuk meneruskan standard perkhidmatan rawatan sekarang ini," katanya.

Dr Ganabaskaran berkata, kekurangan doktor di klinik kerajaan juga akan mempengaruhi penjagaan dalam Konsep Doktor Keluarga yang melibatkan doktor memberikan rawatan kepada pesakit dan keluarganya seumur hidup.

"Doktor yang kerap berjumpa dengan pesakit tertentu dan ahli keluarganya tidak boleh ditugaskan dalam syif biasa di bawah sistem syif baharu.

"Konsep doktor keluarga adalah sesuatu yang disokong oleh KKM.

"Mereka memahami keberkesanan dalam pencegahan, pengesanan awal dan rawatan penyakit kronik kerana doktor keluarga sangat mengetahui sejarah perubatan pesakit mereka dari rawatan lanjut dan hubungan baik dengan pesakit mereka," katanya.

Dr Ganabaskaran berkata, MMA mengalu-alukan sebarang peningkatan sistem penjagaan kesihatan tetapi semua itu perlu diberi pertimbangan.

"Sebaliknya, kita harus mendidik dan memperkasakan masyarakat untuk mematuhi janji temu berperingkat untuk mengurangkan kesesakan di klinik," katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, KKM akan mengkaji pelaksanaan sistem dua syif di klinik kerajaan di seluruh negara untuk mengurangkan kesesakan. - Bernama