Polemik isu bil elektrik nampaknya belum ada kesudahan. Rungutan pengguna yang mendakwa kenaikan bil elektrik mencecah sehingga 600 peratus pada waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) masih hangat dibincangkan orang ramai sampai ke hari ini.
Beberapa siri jawapan malah respons yang disusuli dengan video dan kenyataan media oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) belum berjaya menyejukkan hati pengguna.
Terkenal sebagai salah sebuah negara dengan jabatan netizen yang paling ‘kreatif’, tidak hairanlah juga ketidakpuasan hati pengguna di Malaysia membawa kepada pendedahan kononnya jumlah gaji Pengerusi TNB, Datuk Seri Mahdzir Khalid terlampau tinggi.
Kecoh di media sosial kononnya gaji Pengerusi TNB mencecah RM958,288 atau lebih tepat kurang beberapa puluh ribu lagi menghampiri angka RM1 juta sebulan.
Penularan laporan itu memaksa Mahdzir semalam membuat kenyataan menafikan isu gaji setinggi itu dengan mengakui jumlah yang diterimanya jauh lebih rendah.
Mahdzir turut mengakui TNB kini sedang mengkaji semula mekanisme bagi menangani aduan orang ramai mengenai caj bil elektrik tinggi itu.
Berdasarkan rekod sebelum ini, TNB sebenarnya baru dikompaun RM3.6 juta oleh Suruhanjaya Tenaga pada Disember tahun lalu atas kesalahan standard prestasi Minimum Service Level.
Maka tidak hairanlah segelintir pengguna yang panas hati mencadangkan Suruhanjaya Tenaga campur tangan dengan kes bil elektrik tinggi itu.
Selain itu, tidak kurang juga yang melihat individu terbaik untuk menyejukkan hati 9.2 juta pelanggan TNB itu ialah ‘Abah Malaysia’ yang juga Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sendiri.
Apatah lagi, ramai yang mempersoalkan bagaimana pengumuman ‘Abah Malaysia’ pada Mac lalu bahawa kerajaan bersama TNB menyediakan peruntukan sebanyak RM530 juta untuk diskaun berperingkat antara 15 hingga 50 peratus, berakhir dengan kiraan prorata dan kenaikan luar biasa.
Yang pasti, sebagai salah sebuah pemain industri tenaga utama negara sejak tahun 1949, TNB diharapkan mengambil langkah segera menyelesaikan isu bil elektrik PKP itu serta kembali menjadi kebanggaan dan menerangi kehidupan Malaysia