Seminggu dua ini, musim durian kembali tiba. Di mana-mana sahaja orang bercakap mengenai durian dan sudah tentunya musang king menjadi rebutan ramai.
Ada yang memuji keenakan durian gred paling berkualiti itu dan tidak kurang juga merungut harga musang king mahal. Ada gerai menjual RM40 sekilogram, ada juga yang mencecah RM60 sekilogram.
Selain permintaan tinggi terhadap durian, dalam beberapa minggu ini juga antara perkara yang mendapat permintaan tinggi di pasaran ialah ahli politik lompat. Baik ahli Parlimen mahupun Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), kedua-duanya menjadi buruan.
Jika di peringkat Pusat, ahli Parlimen lompat kini penting untuk sama ada mengukuhkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) atau sebaliknya menjadikan Pakatan Harapan kembali ke Putrajaya.
Sementara di peringkat negeri, kejayaan ‘membeli’ beberapa ADUN lompat telah membolehkan kerajaan negeri bertukar tangan.
Sebagai contoh di Kedah baru-baru ini, Datuk Seri Mukhriz Mahathir terpaksa melepaskan kedudukannya sebagai Menteri Besar Kedah selepas dua ADUN PKR keluar parti dan menyokong PN.
Kelmarin, permintaan tinggi terhadap ADUN lompat ini merebak ke Sabah. Dua ADUN UPKO sudah pun mengesahkan keluar UPKO dan menarik sokongan kepada Warisan.
Cuma dua ADUN yang dikutip PN di ‘ladang’ Warisan itu dulu asalnya ialah ADUN BN sendiri yang melakukan lompatan awal sehingga menjatuhkan kerajaan Tan Sri Musa Aman pada tahun 2018.
Sama seperti musang king, dengan permintaan tinggi sudah tentu harganya mahal. Begitu juga dengan ‘sokongan’ ahli Parlimen lompat tentunya ada ‘harganya’ yang tersendiri.
Cuma dalam ghairah melompat sehingga berkali-kali itu, berhati-hatilah kerana bimbang ‘harga dan habuan’ lompatan itu bukan untuk rakyat di kawasan, sebaliknya untuk kepentingan diri sendiri.