MELAKA- Ketidakstabilan politik di Mesir telah memaksa bekas pelajar perubatan dari Universiti Iskandariah, Ikhwan Hakim Azmi melupakan hasrat untuk bergelar doktor.
Susulan itu, pemuda berusia 26 tahun itu kembali ke Malaysia dan memilih berniaga serunding menggunakan jenama Serunding Khalifa.
"Pada mulanya saya bercadang mahu sambung pengajian di India tapi memandangkan perlu mengulang kembali daripada awal, saya terpaksa batalkan hasrat tersebut.
"Sebaliknya, saya beranikan diri menceburkan diri dalam bidang perniagaan walaupun berbeza dengan apa yang saya pernah pelajari sebelum ini,” katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, beliau sedikit pun tidak menyesal dengan keputusan yang diambil, sebaliknya berbangga kerana masih dapat membantu orang ramai menerusi perniagaan diusahakan.
"Walaupun saya bukan doktor tapi dengan mengusahakan perniagaan serunding dapat juga membantu anak muda mendapatkan wang tambahan hasil jualan serunding ini.
"Secara tidak langsung, saya juga dapat mengaktifkan semula ekonomi orang Islam yang terjejas akibat penularan koronavirus (Covid-19),” katanya.
Ikhwan Hakim berkata, inisiatif menjual serunding itu bermula ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lalu.
Katanya, masa terluang dalam tempoh berkenaan telah memberinya idea untuk memborong serunding dan membungkusnya semula sebelum menjualnya kepada orang ramai secara dalam talian.
Jelasnya, perniagaan tersebut diusahakan dengan bermodalkan wang Bantuan Prihatin Nasional (BPN) yang diterima.
"Alhamdulillah, sambutan diterima amat menggalakkan walaupun saya hanya membuat promosi secara dalam talian.
"Sejak itu, saya berazam untuk serius mengusahakan perniagaan serunding ini,” katanya yang berasal dari Pahang.
Potensi
Sebelum menjual serunding, Ikhwan Hakim membekalkan bawang ke kedai runcit dan pasar selama setahun.
Katanya, beliau memilih serunding selepas melihat potensi pasaran produk makanan berkenaan.
Ikhwan Hakim berkata, serunding adalah hidangan amat popular malah digemari oleh seluruh penduduk Malaysia kerana amat sesuai dimakan dengan ketupat dan lemang, terutama semasa sambutan hari raya.
Setakat ini Ikhwan mengusahakan dua jenis serunding iaitu daging dan ayam yang dijual pada harga RM18 bagi pakej 200 gram.
"Serunding ini dihasilkan dalam tempoh lapan jam menggunakan dapur arang kayu oleh pembuatnya di Tumpat, Kelantan."Untuk kerja-kerja pembungkusan dan pelabelan, saya lakukan di Kampung Ramuan China Besar, Melaka,” katanya.
Dalam tempoh PKP, katanya, beliau berjaya menjual sekitar 450 kilogram dengan keuntungan kasar kira-kira RM44,000.
Beliau berhasrat mendalami bidang perniagaan makanan dan bercadang mempelbagaikan lagi jualan makanan segera seperti kuih peneram dalam masa terdekat. Malah, beliau juga sedang dalam proses memohon sijil halal untuk produk Serunding Khalifa.
"Saya harap orang ramai dapat menyokong produk tempatan ini. Keuntungannya kelak boleh dikongsi bersama demi memperkasakan ekonomi Islam,” katanya.