KUALA LUMPUR - Pakatan Harapan (PH) sebenarnya sudah membuat keputusan bagi menentukan siapa calon Perdana Menteri untuk kerajaan pakatan pembangkang itu kelak.
Ketua Umum PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagaimanapun menegaskan PH kini sedang merujuk pandangan kelompok rakan pakatan parti politik lain seperti Parti Warisan Sabah (Warisan) dan ahli-ahli Parlimen dari serpihan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diketuai Pengerusinya yang dipertikaikan, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Menurutnya, beliau bersetuju dengan kenyataan Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bahawa perbincangan topik itu masih belum dimuktamadkan dan memohon maaf terpaksa menangguhkan keputusan itu.
"PH sebagai satu badan sudah buat keputusan (calon PM) tetapi kita perlu rujuk kelompok rakan (parti politik) lain seperti Warisan dan ahli-ahli Parlimen Bersatu.
"Namun paling penting kita tekankan keutamaan PH adalah memastikan agenda perubahan kerajaan kelak seiring dengan agenda perubahan ekonomi rakyat dan tatakelola pengurusan kerajaan lebih baik.
"Perubahan itu juga mestilah lebih baik daripada apa yang kita pernah buat sebelum ini kerana untuk meraih dukungan rakyat, kita menghadapi sedikit masalah (sewaktu kerajaan PH terdahulu)," katanya pada sesi Facebook Live di sini hari ini.
Selasa minggu lalu, satu mesyuarat bersama pimpinan PH Plus berlangsung di ibu pejabat PKR dipengerusikan Anwar dengan panel utama terdiri daripada Tun Dr Mahathir Mohamad dan Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.
Pengarah Komunikasi Parti Keadilan Rakyat (PKR), Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil sewaktu ditemui media selepas majlis mesyuarat itu menegaskan keputusan mengenai siapa calon PM PH akan diumumkan semalam.
Bagaimanapun, Ahmad Fahmi dalam satu kenyataan semalam mengesahkan tiada sebarang mesyuarat atau perjumpaan pimpinan PH dan sekutunya yang kini dikenali sebagai PH Plus di ibu pejabat PKR.
Anwar yang juga Presiden PKR berkata, beliau mengakui perubahan mendesak untuk menukar kepimpinan kerajaan Perikatan Nasional adalah mendesak dan harus disegerakan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan perubahan dibuat itu mestilah dengan maksud untuk memastikan kepedulian kerajaan terhadap permasalahan rakyat lebih baik.
"Perubahan (kerajaan) itu juga mesti memberi kesedaran kepada rakyat terhadap kepentingan perkara itu kepada negara di samping dapat meningkatkan keyakinan dalam kalangan pelabur.
"Ini yang menjadi persoalan pokok dalam PH," katanya.
Beberapa penganalisis politik sebelum ini berpendapat terdapat perselisihan pandangan di antara Anwar dan Dr Mahathir terhadap siapa yang menjadi calon Perdana Menteri bagi PH Plus kerana kedua-dua pemimpin itu dikatakan bertegas menuntut perkara itu.